Kuala Lumpur: Semua pengendali makanan, sama ada warga asing atau tempatan diwajibkan mendapatkan suntikan vaksin (pelalian anti-tifoid) melalui pengamal perubatan berdaftar.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, suntikan itu bertujuan mengelakkan pengendali makanan daripada dijangkiti penyakit tifoid dan mencegah penularan kepada orang awam melalui makanan atau minuman.

Menurutnya, mengikut Peraturan 11, Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pemilik premis makanan hendaklah tidak menggaji atau membenarkan mana-mana pengendali makanan bekerja di premisnya melainkan jika mereka diberi suntikan vaksin (pelalian anti-tifoid) oleh pengamal perubatan berdaftar.

“Di samping itu, mengikut Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, semua pengendali makanan, sama ada warga asing atau tidak, perlu mendapatkan suntikan vaksin oleh pengamal perubatan berdaftar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, jika pengendali makanan atau pemilik premis yang tidak mematuhi peraturan itu, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini tiada premis makanan yang ditutup atas alasan tidak mematuhi peraturan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Dr Norhayati Abdullah turut mengakui penguasaan tenaga kerja asing di premis menjual makanan di ibu kota.

Menurutnya, penguasaan warga asing itu bukan saja dapat dilihat di restoran, warung dan medan selera tetapi juga di hotel besar.

“Pemeriksaan berkala ke restoran dan hotel kerap dilakukan DBKL bagi tujuan pemantauan mengenai kebersihan dan suntikan tifoid. Mereka turut diberikan buku pemeriksaan dengan maklumat terperinci termasuk tarikh luput suntikan berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dr Norhayati berkata, jika pihaknya mendapati rekod kad berkenaan sudah tamat tempoh tarikh luput suntikan berkenaan, kompaun maksimum RM500 akan dikenakan terhadap individu berkenaan.

Harian Metro semalam melaporkan dominasi warga asing sebagai pengendali makanan di Malaysia dikhuatiri mendedahkan orang ramai kepada ancaman pelbagai penyakit kerana kebanyakan mereka dipercayai tidak mengikuti latihan serta menjalani pemeriksaan kesihatan.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Chong Chee Keong berkata ujian saringan kesihatan dikendalikan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) jelas membuktikan kedatangan pendatang asing ke negara ini memang turut membawa ‘kuman penyakit.’

Menurutnya, batuk kering atau tibi dikenal pasti penyakit berjangkit paling tinggi dihidap warga asing yang dikesan ketika mereka melalui saringan kesihatan untuk mendapatkan permit bekerja di Malaysia.

“Statistik FOMEMA menunjukkan sepanjang 2013 hingga Oktober lalu, seramai 36,502 daripada 1.28 juta pekerja asing yang menjalani saringan kesihatan dikesan mempunyai pelbagai jenis penyakit.

“Penyakit tibi mencatatkan 16,751 penghidap (45.1 peratus) diikuti Hepatitis B 3,579 (12 peratus) dan penyakit berpunca daripada penyalahgunaan dadah (5.5 peratus),” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, seramai 8,988 atau 24.2 peratus pekerja yang disaring itu dikesan menghidap pelbagai penyakit lain dan warga Indonesia, Nepal serta Bangladesh mencatatkan angka tertinggi iaitu masing-masing 15,072, 7,433 dan 5,157 dikesan berpenyakit.

Di samping itu, Dr Chong berkata, semua angka di atas membabitkan warga asing yang masuk ke negara ini secara sah dan menjalani ujian saringan kesihatan, namun apa yang lebih membimbangkan ialah ‘kuman penyakit’ dibawa pendatang yang masuk secara haram

Tinjauan Harian Metro di 40 premis menjual makanan di empat bandar utama iaitu Kuala Lumpur, Shah Alam, Ipoh dan Johor Bahru mendapati warga asing khususnya dari Indonesia, Thailand, India dan Bangladesh mendominasi sebagai bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 8:28 AM