Oleh Rosyahaida Abdullah

Bangi: Kewujudan universiti penyelidikan (RU) bukan sekadar memberi tumpuan kepada aktiviti pengkomersialan, malah meliputi penjanaan ekonomi dan idea selaras hasrat negara menuju ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi).

Ia berasaskan kepada empat tunggak utama iaitu pembangunan modal insan, kepentingan penyelidikan, penjanaan pendapatan dan mendekatkan jurang antara universiti, komuniti serta industri.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Prof Datuk Dr Asma Ismail berkata, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) di RU tempatan kini mampu menyediakan penyelesaian kepada perkara tertentu yang akhirnya memanfaatkan industri dan komuniti berkaitan dalam kumpulan lebih besar.

Beliau berkata, ia terbukti menerusi pengkomersialan R&D di lima universiti penyelidikan di negara ini dalam tempoh tujuh tahun yang mampu menjana RM48 juta pendapatan kasar, namun secara keseluruhannya menjana RM1.25 bilion dari sudut penyelesai masalah.

“RU juga membantu mengembangkan pendapatan individu perseorangan menerusi penjanaan idea. Contohnya, nelayan yang kini berupaya menjana pendapatan dengan mengembangkan perniagaan tiram.

“Semua ini adalah hasil penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM) oleh pakar yang seterusnya dikembangkan kepada komuniti menerusi latihan dan kontrak penyelidikan,” katanya.

Setakat ini, lima universiti tempatan yang diiktiraf dalam kedudukan Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) sebagai RU adalah USM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan, perkara utama semestinya untuk memastikan universiti kita berada dalam kedudukan tertinggi dan ia bukanlah dicapai dalam tempoh singkat, malah kita sendiri baru saja tujuh tahun mempunyai RU.

“RU perlu disemai dengan lebih banyak R&D serta pensyarah terbaik yang bukan saja memberi manfaat kepada komuniti kita sendiri, malah pada masa sama mampu menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di Malaysia.

“Semua ini kelak akan membawa negara menuju k-ekonomi, namun perubahan ini perlu disokong dengan geran penambahan yang dapat lonjakan penerbitan R&D,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:10 AM