Kampung Gajah: Tindakan sekumpulan empat lelaki yang memiliki 13 paket bungkusan serbuk dan ketulan dadah jenis heroin serta menjadikan sebuah ladang kelapa sawit di Air Kuning, di sini, sebagai ‘port’ melepaskan gian terbongkar apabila mereka dicekup polis, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang, sepasukan anggota polis diketuai seorang pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkortik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bertindak menyerbu kawasan ladang kelapa sawit berkenaan selepas menerima aduan awam.

Sumber berkata, keempat-empat suspek berusia antara 24 hingga 37 tahun yang juga penagih dadah ditahan ketika berada di sekitar ladang kelapa sawit berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap empat suspek lelaki Melayu berkenaan menjumpai 13 paket plastik berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 93 gram yang disimpan dalam sebuah beg di atas tanah tempat kesemua suspek duduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:12 AM