King Sing menunjukkan risalah yang beliau edarkan di kawasan DUN Dudong. FOTO MOHD ROJI KAWI
King Sing menunjukkan risalah yang beliau edarkan di kawasan DUN Dudong. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my


Sibu: "Jangan sesekali jadikan keputusan pilihan raya ini sebagai bahan pertaruhan. Tolonglah, ini bukan perjudian," rayu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing kepada penduduk Sarawak.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu berkata, beliau mendapat maklumat wujud aktiviti pertaruhan dan kaki judi mula mensasarkan kawasan yang ditandinginya.

Justeru beliau merayu orang ramai tidak membazirkan wang dengan menyertai pertaruhan itu dan pada masa yang sama meminta pihak berkuasa memantau rapi aktiviti perjudian yang sudah bermula itu.

"Tolong jangan bazirkan wang anda untuk membuat pertaruhan terutama ketika kita sedang dalam kesulitan akibat Covid-19.

"Saya dengar ada orang sudah mula buka pertaruhan dan lebih mengejutkan ia membabitkan saya kerana mereka mengatakan saya hebat lalu meletakkan pertaruhan berapa undi saya boleh dapat," katanya pada sidang media di pejabat PDP Cawangan Dudong di sini, petang ini.

King Sing berkata, orang ramai tidak harus terpengaruh dengan tawaran aktiviti tidak sihat itu supaya tidak timbul sebarang masalah selepas pilihan raya nanti.

"Memang judi ada menang ada kalah. Kalau menang, boleh makan besar tapi kalau kalah, keluarga dalam masalah," katanya.

King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau adalah calon 'payung terjun' dari kawasan lain apabila bertanding di kawasan Dudong yang jaraknya lebih 300 kilometer dari Bintulu.

"Orang ramai perlu tahu bahawa Dudong adalah kampung saya. Saya membesar dan bersekolah di tiga sekolah di sini sehingga Tingkatan Lima.

"Jadi, saya bukanlah orang luar di Dudong ini dan berharap ia tidak dijadikan isu kerana saya memang berasal dari Dudong," katanya.

Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) 18 Disember ini menyaksikan persaingan lapan penjuru di DUN Dudong.

King Sing berdepan cabaran Paul Ling Fong dari DAP, calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Hie Ping, calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Julius Enchane, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Jane Lau Sing Wee dan calon Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Josephine Lau Kiew Peng.

Turut bertanding di Dudong, dua calon Bebas, Engga Unchat dan Fadhil Mohamad Isa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:20 PM