Mahamad Zaidi (kanan) berbincang ketika membuat lawatan di Tapak Bazarena,  Shah Alam.
Mahamad Zaidi (kanan) berbincang ketika membuat lawatan di Tapak Bazarena, Shah Alam.

Shah Alam: Tapak Bazarena di Stadium Malawati, di sini, bakal dibanjiri pengunjung dan pembaca setia Harian Metro (HM) kerana dipilih sebagai tempat Karnival HM Padat yang berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini.

Pemilihan kawasan itu dibuat kerana karnival yang julung kali diadakan di bandar raya ini bakal menyajikan pelbagai aktiviti menarik dalam keupayaan yang lebih besar selama dua hari penganjurannya.

Eksekutif Kanan Bahagian Aktiviti Penjenamaan, Jabatan Pemasaran The New Straits Times Press (NSTP) Berhad, Mahamad Zaidi Mat Noor berkata, Tapak Bazarena dipilih kerana kawasan strategik dan persekitaran yang sesuai.

Menurutnya, pengunjung juga tidak perlu bimbang kerana kawasan tempat letak kereta yang disediakan juga mencukupi terutama kepada yang berkeluarga.

“Tempat ini dipilih kerana kami mahukan kelainan kerana terdahulu karnival Harian Metro diadakan di Dataran Merdeka, jadi pada kali ini Bazarena Stadium Malawati pula dipilih sebagai tempat penganjuran pertama kali di Shah Alam.

“Pelbagai acara seperti Autoshow bagi motosikal dan kereta diadakan dalam skala lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat bersama pihak pengurusan Stadium Malawati, di sini, semalam.

Antara barisan penaja bagi Karnival HM Padat adalah Maxis selaku penaja utama manakala Avon, I-Pmart, Burgerbyte dan Hemariton sebagai penaja bersama.

Kemuncak karnival adalah Konsert Padat HM pada malam 7 Disember yang bakal dimeriahkan lagi dengan penampilan penyanyi terkemuka tanah air antaranya Hazama, Awi Rafael, Ajai dan kumpulan terkenal Indonesia, Nidji.

Karnival ini dianjurkan sebagai tanda terima kasih HM kepada pembacanya yang terus memberikan sokongan kepada akhbar ini sejak Mac 1991.

Antara aktiviti seperti pameran dan jualan kereta baru, jualan aksesori kenderaan terpakai dan pertandingan modifikasi terbaik kereta dan motosikal .

Pengunjung juga boleh menyertai pertandingan Juara Karaoke Metro dan gusti lengan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 7:40 AM