Syanty Octavia Amry


Karnival konsert Padat Hari­an Metro (HM) yang akan berlangsung Ahad ini, 7 Disember pastinya dinanti-nantikan semua. Tidak hanya pembaca setia HM dan orang ramai, artis yang bakal menjayakan konsert ini turut teruja untuk bersama peminat meraikan karnival ini yang diadakan sebagai tanda terima kasih dan menghargai pembaca yang terus menyokong kewujudan akhbar ini sejak ia diterbitkan pada 1991.

Bakal diadakan di tapak Bazarena, Stadium Malawati, Shah Alam, antara artis yang bakal menghiburkan penonton, Hyper Act, Nidji, Asmidar, Hazama, Fiq Mentor, Aweera, Ewal dan Nuha AF2014, Ajai dan Amelina serta diacarakan oleh Jihan Muse dan AG HotFM.

Bekas peserta AF2014, Nuha berkata, dia tidak sabar dan teruja untuk sama-sama dengan artis lain menghiburkan peminat.

Selain itu, kewujudan akhbar Harian Metro juga dilihat banyak membantu menaikkan populariti seseorang artis itu.

"Secara peribadi saya lihat akhbar ini menarik kerana menampilkan kisah kehidupan masyarakat yang jarang diketahui ramai. Jarang akhbar berjaya memaparkan isu menarik seperti ini tetapi Harian Metro mampu mempersembahkannya kepada pembaca.

"Kisah artis yang ditampilkan juga saya lihat tidaklah terlalu melampau kerana apa yang saya baca cerita biasanya masih menjaga etika dan tidak terlampau," katanya.

Bagi teman seangkatannya, Ewal atau nama sebenar­nya Ikhwal Hafiz Ismail berkata, impak sesebuah akhbar terhadap kerjaya seseorang artis itu terlalu besar.

Justeru, akhbar sangat memainkan peranan penting, dalam erti kata lain akhbar dan artis sangat memerlukan di antara satu sama lain.

"Dengan adanya karnival seperti ini ia turut membantu bagi memperkenalkan seseorang artis itu kepada orang ramai di samping mendekat­kan lagi diri artis dengan peminat.

"Seperti saya sendiri, walaupun sudah lama terbabit dalam bidang seni, baru kini diri lebih menyerlah. Oleh itu, saya berharap medium seperti karnival ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang bagi memberi sokongan kepada akhbar dan artis itu sendiri," katanya.

Sementara itu, pengacara popular, Jihan Muse berkata, meskipun berbeza suasana pengacaraannya di mana kali ini secara langsung di hadapan orang ramai dia lebih suka kerana tidak perlu terlalu formal.

"Bezanya mengacarakan karnival seperti ini, orang ramai lebih dekat de­ngan saya di samping itu saya tidak perlu terlalu formal, rasa lebih santai dan selesa dengan penonton.

"Kalau diikutkan saya sendiri lebih suka mengacarakan program secara langsung seperti ini berbanding di televi­syen, namun rezeki saya sekarang lebih kepada mengacara di televisyen membuatkan kesempatan untuk mengacarakan program seperti ini tiada.

"Apabila ditawarkan menjadi pengacara pada karnival ini rasa teruja dan tidak sabar untuk bertemu peminat dan saya yakin mereka akan terhibur de­ngan aktiviti dan persembahan yang disajikan nanti," katanya.

Mengulas mengenai akhbar Harian Metro, secara peribadi Jihan mengakui akhbar nombor satu negara ini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana semua orang tahu.

"Dengan pengisian yang senang dibaca dan padat ia turut menjadi contoh kepada akhbar lain. Apatah lagi, karnival yang diadakan pastinya akan membuatkan suasana menjadi meriah de­ngan kehadiran orang ramai," katanya lagi.

Selain konsert, karnival yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu ini turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya pameran dan jualan kereta baru, jualan aksesori kenderaan terpakai dan pertandingan modifikasi terbaik kereta dan motosikal .

Orang ramai juga boleh menyertai pertandingan Juara Karaoke Metro dan gusti lengan.

Turut disediakan juga both jualan dan both penaja seperti Maxis selaku penaja utama manakala Avon, I-Pmart, Burgerbyte dan Hemariton sebagai penaja bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 5:00 AM