Lori mangsa remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Kuala Lipis-Jerantut.
Lori mangsa remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Kuala Lipis-Jerantut.

Kuala Lipis: Seorang kelindan lori yang dalam perjalanan menghantar bekalan ikan ke sebuah pasar raya di sini, maut selepas kenderaan dinaikinya terjunam ke dalam gaung di Kilometer 37 Jalan Kuala Lipis-Jerantut, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang, mangsa, Fadil Ajiz, 35, yang berasal dari FELDA Bukit Mendi, dekat Triang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, rakan sekerja mangsa yang memandu kenderaan itu, Shahrul Affendi Rajuli, 32, yang berasal dari FELDA Sungai Kemahal, dekat Triang, patah kedua-dua tangan dan dikejarkan ke Hospital Jerantut (HJ) untuk rawatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa bersama rakannya dalam perjalanan ke Kuala Lipis dari Jerantut menghantar bekalan ikan sebelum lori dipandu Shahrul Affendi hilang kawalan ketika melalui laluan berbukit.

Katanya, ia menyebabkan kenderaan itu terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam gaung mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk.

“Orang ramai membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa sementara menantikan ambulans tiba di tempat kejadian,” katanya

Menurutnya, polis sudah mengambil sampel darah Shahrul Affendi untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengesan sama ada mangsa memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:19 AM