TIKUS ASF boleh dijinakan dan menjadi manja dengan pemilik.
TIKUS ASF boleh dijinakan dan menjadi manja dengan pemilik.
Hafiz Ithnin


Pada tahun lalu, lelaki berusia 22 tahun ini berhasrat menjadi pembekal tikus yang sinonim dengan makanan ular kerana tikus African Soft Fur (ASF) mempunyai tahap protein yang cukup baik untuk haiwan reptilia berkenaan.

Namun, selepas memiliki haiwan berkenaan, Muhammad Syazwan Aqid Rusdi melihat haiwan itu mempunyai keunikan tersendiri untuk dijadikan sebagai haiwan kesayangan.

Apatah lagi, apabila ia mempunyai 'rupa paras' yang comel dan boleh dilatih untuk menjadi jinak kepada si pemilik jika diberi perhatian yang cukup baik.

Kini, Muhammad Syazwan atau lebih mesra disapa OG bukan hanya mempunyai dua tikus ASF, tetapi lebih 100 ekor dimilikinya untuk dijaga dan dijual kepada peminat haiwan berkenaan sama ada dijadikan makanan ular atau dipelihara.

Menerusi pencarian penulis, tikus ASF mempunyai nama sainstifik Mastomys natalensis berasal dari Afrika yang biasanya hidup di padang pasir dan hutan.

Haiwan itu juga mempunyai berat boleh mencecah 60 gram apabila berada usia dewasa. Tikus ASF juga mempunyai pelbagai jenis warna antaranya coklat atau kombinasi putih dan pelbagai warna lain.

ANAK-anak tikus ASF.
ANAK-anak tikus ASF.

OG berkata, tikus ASF mempunyai tempoh dewasa yang pantas iaitu pada usia sekitar tujuh hingga lapan bulan. Pada usia matang, tikus itu sudah mampu melahirkan anak.

Katanya, dalam tempoh setahun secara purata seekor tikus RSF betina mampu bunting sebanyak tiga kali. Malah, menerusi pengalamannya selama setahun menjadi pembekal, seekor tikus ASF miliknya pernah melahirkan sehingga 15 ekor anak.

"Berbanding dengan keluarga tikus lain seperti hamster, tikus ASF mempunyai kadar hidup ketika dilahirkan amat tinggi kerana mereka tidak makan anak yang baharu dilahirkan.

BEKAS menyimpan tikus ASF mengikut kumpulan usia.
BEKAS menyimpan tikus ASF mengikut kumpulan usia.

"Boleh dikatakan jika 15 ekor dilahirkan hanya satu atau dua yang mati mungkin kerana sakit. Bersandarkan pengalaman saya tidak pernah melihat lagi ibu tikus ASF memakan anaknya sendiri selepas dilahirkan," katanya.

Jelasnya lagi, penjagaan tikus ASF juga amat mudah kerana ia hanya memerlukan ruang yang sesuai untuk haiwan itu hidup, menjaga diet dan memastikan tahap kesihatan yang baik.

"Haiwan ini memerlukan ruang selesa untuk ia bergerak. Jadi, saya sediakan beberapa bekas tertutup mengikut kaloni iaitu satu bekas mempunyai seekor jantan dan empat betina. Manakala untuk anak-anak tikus ASF pula saya asingkan dalam bekas yang lain.

"Dalam bekas pula saya alas dengan habuk kayu supaya tikus ASF milik saya selesa. Selain itu, ada juga bekas makanan dan minuman. Ada juga Tikus ASF saya diletakkan dalam sangkar," katanya.

Katanya, dari segi diet dia memberikan makanan jenis bijiran yang dibeli di kedai menjual makanan haiwan peliharaan.

"Makanan lain yang lain boleh diberikan seperti makanan palet untuk kucing atau anjing. Lebih penting makanan yang diberikan mempunyai kandungan protein dan karbohidrat yang baik untuk tumbesarannya. Setiap hari saya hanya memberikan dua kali waktu makan iaitu pada sebelah pagi dan petang," katanya.

MAKANAN jenis bijirin menjadi pilihan tikus ASF.
MAKANAN jenis bijirin menjadi pilihan tikus ASF.

Jelasnya, dari segi membersihkan tempat simpanan haiwan itu juga tidak dilakukan dengan kerap iaitu dua kali seminggu dengan hanya membuang najisnya.

"Bagi membersihkan keseluruhan tempat seperti menggantikan alas daripada habuk kayu, saya akan lakukan sebulan sekali kerana ingin pastikan persekitaran tempat tinggal haiwan ini bersih dan tiada pembiakan kuman yang boleh menyebabkan masalah penyakit lain," katanya.

Katanya, tikus ASF sebenarnya mempunyai sifat agresif dengan mudah untuk melarikan diri apabila terasa terancam. Namun, ia boleh dijinakkan apabila sering diberi perhatian.

HABUK kayu menjadi alas tempat simpanan tikus ASF.
HABUK kayu menjadi alas tempat simpanan tikus ASF.

"Bagi pembeli baharu yang ingin menjadikan tikus ASF sebagai haiwan kesayangan saya maklumkan kepada pembeli supaya perlu kerap beri perhatian selain membelai dan bermain dengan haiwan itu lebih kerap pada peringkat awal supaya ia selesa dengan pemilik.

"Apabila tikus ASF sudah mengenali pemilik, ia menjadi haiwan kesayangan yang jinak dan sentiasa ingin dekat dengan pemilik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 7:00 AM