Nurul Husna Mahmud


MELIHAT aksi Ahmad Faizul Sulaiman, 36, membelai bulu tikus belanda atau 'guinea pig' kesayangannya itu mengundang rasa lucu.

Mana tidaknya haiwan peliharaan yang tergolong dalam keluarga Rodent seperti kumpulan tikus dan kanggaru itu hanya membiarkan tuannya memberus bulu.

Menurut Ahmad Fairuz, spesies tikus belanda itu adalah jenis berbulu panjang dinamakan Coronet. Tarikan bagi spesies ini terletak pada alur 'mahkota' atau pusaran atas kepala selain memiliki bulu yang panjang seperti rambut manusia.

Kata Ahmad Fairuz, bagi tikus belanda terdapat pelbagai spesies dan setiap karakter itu berbeza mengikut asal tempat kelahirannya.

"Di luar negara, tikus belanda ini antara 'bintang' bagi iklan komersial. Ia akan digayakan dengan pakaian beraneka ragam mengikut kesesuaian produk.

"Pemilik di luar negara teruja kerana aksi haiwan ini begitu comel dan sangat pandai memberi reaksi kepada lensa atau kamera. Telatah itu membuatkan pemiliknya mudah sayang dan tertarik dengannya," katanya di rumahnya di Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor.

Dia dan isteri, Nurul Umairah Mohd Jukiri, 34, juga tertarik apabila pertama kali menyaksikan keletah haiwan terbabit dalam satu pameran yang berlangsung di Cyberjaya pada 2018.

BERKONGSI hobi dengan isteri tercinta, Nurul Umairah.
BERKONGSI hobi dengan isteri tercinta, Nurul Umairah.

"Kali pertama saya dan 'orang rumah' ternampak pameran oleh satu pertubuhan berkait dengan tikus belanda iaitu Pertubuhan Penternak Arnab Malaysia (Marba) kira-kira tiga tahun lalu, saya terus tertarik.

"Saya ambil inisiatif untuk selidik termasuk pergi ke kedai haiwan bagi melihat dan membuat perbandingan dengan spesies haiwan lain seperti hamster.

"Kami memilih tikus belanda kerana apabila membuat perbandingan, haiwan ini lebih mudah selain sifatnya bersih.

"Kalau hamster, air kencing lebih hamis dan selepas mengambil faktor lain termasuk aksinya lebih manja membuatkan saya serta isteri memilih untuk memelihara tikus belanda," katanya.

Kata Ahmad Faizul, ketika ini dia memiliki enam spesies daripada beberapa spesies diperakui pertubuhan dunia seperti American Rabbit Breeders Association (ARBA).

"Dalam 20 tikus belanda yang dipelihara, saya memiliki enam spesies daripada tiga kategori besar (berbulu panjang, berbulu pendek dan tidak berbulu) haiwan itu.

"Antara yang dipelihara ialah Coronet, Silky, Teddy, Berubian dan Skinny. Kebanyakan saya beli menerusi penternak baka dalam negara selain harga berbeza mengikut jenis serta gred.

SALING berkongsi pengetahuan baharu dalam menjaga tikus belanda.
SALING berkongsi pengetahuan baharu dalam menjaga tikus belanda.

"Namun, ada juga saya beli dari Amerika Syarikat bagi memiliki spesies baik untuk spesies Teddy dan memang suatu yang berbaloi kerana baka ini pernah memenangi pertandingan pada 2019," katanya.

Setiap spesies atau kategori dibezakan dengan bulu atau pusar pada haiwan terbabit, selain kedudukan tompok pada badan sama ada hidung dan lain belakang badan.

Dalam pertandingan itu perkara dinilai termasuk aspek kebersihan yang mana telinga dan bahagian duburnya dicuci bersih dalam memastikan baka atau haiwan peliharaan itu sihat.

Mengenai makanan dan diet sesuai untuk haiwan kesayangan itu, kata Ahmad Faizul, selain palet premium, dia turut mempelbagaikan diet dengan memberi rumput selain sayur serta buah-buahan bersesuaian.

"Bagi tikus belanda, kena faham meskipun ia tergolong dalam keluarga tikus, tetapi apabila bab makanan mengikut aturan diet arnab.

"Itu juga antara faktor mengapa persatuan arnab luar negara turut mempunyai akreditasi dalam menilai baka tikus belanda.

"Diet tikus belanda ialah makanan utamanya palet dan perlu pastikan bekalan itu tidak putus. Begitu juga bekalan air bagi mereka yang memelihara tikus belanda di kawasan terbuka," katanya.

Makanan kesukaan haiwan itu ialah tembikai selain turut diberi berupa sayur-sayuran lain seperti bayam dan lobak.

"Dalam pemilihan diet sesuai, perlu juga ikut kesesuaian termasuk umur. Dalam tempoh kami pelihara tikus belanda, kami juga beri rumput lembu atau kambing.

PALET juga makanan penting bagi tikus belanda.
PALET juga makanan penting bagi tikus belanda.

"Pernah juga tikus belanda peliharaan kami mati kerana tersalah makan. Kami pernah rujuk kedai haiwan dan nasihat diberikan tidak banyak membantu.

"Kami beri 'baby corn' atau sayur jagung yang kecil untuk anak tikus belanda berusia tiga hari. Tidak lama kemudian haiwan itu mendapat penyakit dan mati.

"Apabila kami bertanya kepada penternak baka atau komuniti Guinea Pig Malaysia, mereka memaklumkan makanan diberikan tidak sesuai menyebabkan anak tikus belanda itu sakit perut dan mati," katanya.

Penjagaan lain perlu diketahui pemilik tikus belanda ialah kaedah pelihara dalam sangkar. Kata Ahmad Faizul, haiwan ini 'manja' kerana ia berasal dari kawasan tanah tinggi atau negara sejuk.

"Selain sakit perut, tikus belanda peliharaan juga sensitif dengan cuaca panas. Pernah juga haiwan peliharaan kami mati kerana strok haba.

"Jadi, penting untuk letak di tempat yang ada pengudaraan baik dan redup. Macam saya, saya letakkan di luar rumah, tetapi ada kipas bagi bantu sejukkan mereka," katanya.

Selain faktor makan dan persekitaran, penting memastikan tidak berlaku pergaduhan antara tikus belanda jantan kerana kebiasaannya haiwan ini memiliki sikap dominan.

Jadi, Ahmad Faizul menggunakan kaedah pengasingan iaitu meletakkan setiap tikus belanda jantan dalam sangkar berlainan.

Namun, sebagai pemelihara yang beretika, dia tidak meletakkan spesies berbeza dalam satu sangkar sama bagi mengelak haiwan itu mengawan.

"Ketulenan baka adalah penting bagi pemelihara terutama pembiak baka. Ini kerana jika adanya baka baru atau 'hibrid' ini boleh mencemarkan spesies sedia ada selain risiko penyakit baharu atau asing kemungkinan timbul.

"Dalam pertandingan, ada kriteria penting bagi kategori ini dan juri menilai aspek ini bagi kelayakan sebelum lain-lain aspek,"katanya.

Katanya, dia membelanjakan lebih RM1,000 bagi membeli seekor tikus belanda jenis Teddy dari Amerika Syarikat dalam mendapatkan induk yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 7:00 AM
ANTARA empat jenis tikus belanda dipelihara Ahmad Faizul.
ANTARA empat jenis tikus belanda dipelihara Ahmad Faizul.