ASPEK pemakanan sentiasa dititikberatkan.
ASPEK pemakanan sentiasa dititikberatkan.
Muhamaad Razis Ismail


KAJIAN yang dijalankan mendapati hobi memelihara haiwan dapat membantu memberi ketenangan dan kesejahteraan kepada individu yang mempunyai masalah psikologi seperti tekanan, kemurungan, trauma dan sebagainya.

Dengan mendekatkan diri dengan haiwan peliharaan dengan membelai, berkomunikasi, memegang, melihat dan bermain serta beraktiviti dengan binatang peliharaan akan memberi aura yang positif kepada individu dan mengalihkan masalah diri yang dihadapi.

Perkara sama dilakukan Muhammad Aidil Zikry Zaidi, 26, yang memelihara kura-kura jenis sulcata tortoise (darat) sejak 2021 di kediamannya di Subang, Selangor untuk meredakan tekanan di tempat kerja dan merawat kesakitan akibat putus cinta.

Muhammad Aidil berkata, minat memelihara haiwan sudah bermula sejak daripada kecil.

"Dahulu saya tinggal di persekitaran kampung dan mudah jumpa pelbagai jenis haiwan termasuk ayam, burung, kura-kura dan serangga. Kebanyakannya saya bawa pulang ke rumah sehingga dimarah Umie (ibu).

"Apabila belajar di kolej, obses terhadap peliharaan haiwan terhenti kerana kesibukan dengan pelajaran.

"Bagaimanapun apabila sudah mula bekerja saya mula memelihara pelbagai haiwan di rumah termasuk kura-kura," katanya.

Menurutnya, terdapat banyak faktor, dia mula kembali memelihara haiwan termasuk untuk dijadikan sebagai terapi untuk meredakan tekanan di tempat kerja.

"Pada masa sama masalah gagal dalam percintaan menjadi salah satu faktor saya mula kembali kepada hobi ini untuk mengubat rasa 'sakit' putus cinta.

"Melihat gelagat haiwan ini, makan dan bergerak serta menyentuh cengkerangnya membuatkan saya rasa tenang. Malah perkara sama dirasai 'penonton' di platform TikTok yang tertarik dengan kecomelan sulcata tortoise," katanya.

Jelasnya, sulcata tortoise adalah kura-kura darat yang berasal di Afrika dan menduduki kedudukan ketiga terbesar dalam kalangan kura-kura darat.

"Kura-kura ini makan sayur dan buah serta boleh membesar hingga ratusan kilogram beratnya. Ia mampu hidup ratusan tahun jika kena cara membelinya.

"Untuk kos makanan kura kura, tidaklah menelan belanja yang terlalu tinggi. Saya hanya sediakan sayur sawi, dan pallet makanan khas untuk kura kura darat yang boleh didapati di kedai haiwan sekitar RM70 untuk sekilogram, beberapa jenis makanan tambahan juga perlu disediakan bagi tumbesaran yang sihat," katanya.

Dia berkata, untuk memelihara kura-kura sulcata tortoise, pemilik perlu mempunyai lesen menyimpan yang sah daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

"Kedai atau premis yang menjual haiwan ini perlu berdaftar di bawah PERHILITAN dan perlu menyediakan bil pembelian dan juga microchip kepada pembeli dan ia juga antara syarat penting bagi proses memohon lesen di Perhilitan.

"Bayaran hanya serendah RM5 setahun untuk lesen menyimpan jenis kura kura ini. Tindakan denda atau rampasan boleh dikenakan jika kita menyimpan haiwan tanpa lesen menyimpan yang sah," katanya.

Tambahnya, kura-kura ini memerlukan lampu UVA dan UVB yang diletakkan di dalam sangkar kerana cuaca di negara ini tidak sama dengan tempat asal haiwan ini.

"Selain itu, saya turut menjemur (basking) kura-kura ini di bawah sinaran matahari pagi untuk membantu proses tumbesaran yang sihat dan baik.

"Jika ada ada kelapangan, saya ada juga beriadah ke tempat tumpuan ramai orang sambil berkongsi pengetahuan dengan pengunjung di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 7:00 AM