PASANGAN cicak blue tongue skin dimiliki Mohamad Syaief.
PASANGAN cicak blue tongue skin dimiliki Mohamad Syaief.
Hafiz Ithnin

MEMPUNYAI corak pada kulit seperti ular sawa batik, cicak blue tongue skin sebenarnya antara haiwan peliharaan eksotik yang menarik untuk dimiliki.

Keunikan cicak ini terletak pada lidahnya yang mempunyai warna biru dan mungkin disebabkan itu, ia dikenali sebagai cicak blue tongue skin.

Menerusi maklumat yang dikongsikan Portal The Spruce Pets, blue tongue skin atau nama sainstifiknya Tiliqua scincoides adalah reptilia yang aktif pada sebelah malam dan hidup liar di negara seperti Australia dan Indonesia.

Portal itu turut berkongsi mengenai cicak itu yang mempunyai jangka hayat yang agak lama iaitu antara 10 hingga 20 tahun. Selain itu, ia juga mampu mempunyai saiz panjang sehingga 6.0 meter (20 inci).

Ia dikatakan tidak menyerang manusia, sekali gus menjadikan cicak blue tongue skin adalah haiwan peliharaan eksotik yang mesra untuk kanak-kanak dan mereka yang baharu berjinak-jinak.

Pada masa sama, cicak blue tongue skin adalah haiwan omnivor. Bagi mereka yang ingin menjadikannya sebagai haiwan kesayangan perlu menyediakan 60 peratus diet terdiri daripada sayur-sayuran dan selebihnya adalah serangga.

CENGKERIK antara diet cicak blue tongue skin.
CENGKERIK antara diet cicak blue tongue skin.

Antara diet hijau yang digemari cicak blue tongue skin adalah kacang hijau, lobak, pisang, strawberi dan tembikai. Selain itu, dari segi diet serangga atau daging, reptilia itu menggemari tikus putih serta superworm.

Portal itu menambah, cicak blue tongue skin juga boleh diberikan makanan palet untuk anjing. Bagaimanapun, diet yang protein yang berlebihan boleh memberi kesan buruk kepada buah pinggang atau sistem pencernaan.

Memandangkan cicak blue tongue skin antara haiwan yang hidup liar di Australia dan Indonesia, ia memerlukan kadar suhu antara 24 hingga 29 darjah Celsius dalam 'tangki' simpanannya dan dalam tempat berehat memerlukan kadar suhu 35 darjah Celcius.

Seperti kebanyakan haiwan kesayangan dalam kategori reptilia, cicak blue tongue skin juga memerlukan limpahan lampu sinar ultra ungu (UV) selama 10 hingga 12 jam sehari.

Dari segi masalah kesihatan, cicak blue tongue skin biasanya berdepan masalah penyakit metabolisme tulang kerana masalah kekurangan kalsium berikutan kadar ketidakseimbangan lampu UV dan kadangkala masalah diet.

Bagi peminat cicak blue tongue skin tempatan, Mohamad Syaief Mohd Yassin, 23, dia memiliki sepasang reptilia itu sejak 2019.

LAMPU UV perlu dipantau untuk mengawal suhu.
LAMPU UV perlu dipantau untuk mengawal suhu.

DIET seperti ulat menjadi pilihan cicak blue tongue skin.
DIET seperti ulat menjadi pilihan cicak blue tongue skin.

Katanya, dia membeli cicak berkenaan daripada pembiak tempatan pada harga RM700 hingga RM800 seekor.

"Cicak blue tongue skin ini mempunyai keunikan tersendiri terutama lidahnya berwarna biru dan ia begitu jinak sebenarnya walaupun kelihatan garang.

"Selain keunikan itu, saya berminat untuk memilikinya kerana cicak blue tongue skin mudah untuk dijaga dan diuruskan," katanya.

Jelasnya lagi, untuk memiliki reptilia itu tidak memerlukan lesen walaupun ia berada dalam kalangan haiwan kesayangan eksotik.

"Dari segi kekerapan makanan, saya hanya memberikan pasangan cicak blue tongue skin dua atau tiga hari sekali. Antara makanan yang menjadi pilihan untuk diberikan ialah superworm, hornworm dan cengkerik.

"Untuk membersihkan tempat simpanan cicak blue tongue skin juga tidak perlu kerap mungkin seminggu sekali sahaja," katanya.

Katanya, perkara yang lebih utama selain diet ialah memastikan kadar limpahan UV yang mencukupi dan memantau tahap suhu.

"Pemantauan ini penting kerana cicak blue tongue skin memerlukan suhu yang sesuai untuk memastikan jangka hayatnya panjang," katanya.

CICAK blue tounge skin memiliki jangka hayat yang panjang.
CICAK blue tounge skin memiliki jangka hayat yang panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 7:00 AM