Muhammad Saufi Hassan


KEMATANGAN teknologi Kecerdasan Buatan (AI) membuka dimensi pekerjaan baharu dan menutup bentuk pekerjaan konvensional yang lain sekali gus menimbulkan tanda tanya berhubung keperluan tenaga manusia pada masa depan.

Pakar industri sebulat suara bersetuju bahawa tenaga manusia atau kepakaran manusia masih diperlukan pada masa depan khususnya membabitkan keputusan kritikal yang memerlukan pertimbangan sewajarnya.

Meletakkan

tanggungjawab untuk membuat keputusan kepada mesin dilihat tidak praktikal memandangkan keupayaan mesin pada ketika ini hanya bersifat 'betul salah' saja dan tiada pertimbangan 'kebarangkalian atau mungkin' kerana itu memerlukan analisis tenaga pakar manusia.

Berdasarkan satu tinjauan umum oleh pakar industri memperlihatkan bahawa wujud bidang pekerjaan yang diramalkan bakal mengalami penyusutan dalam tempoh sedekad akan datang berikutan perkembangan teknologi AI, Pengubah Generatif Pra-Latihan (GPT) dan Pembelajaran Mesin (Machine Learning - ML).

Laporan World Economic Forum's Future of Jobs Report 2023 menjangkakan sekitar 40 peratus tempoh bekerja hampir semua pekerjaan bakal terkesan dengan AI mahupun ChatGPT.

Antara segmen pekerjaan utama yang bakal diambilalih AI termasuk perkeranian perbankan, juruwang, jurutiket, penyambut tetamu, pegawai khidmat pelanggan, pemandu pengangkutan awam, penganalisis data, penterjemah dan beberapa pekerjaan lain.

Berdasarkan laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF), ia memberi amaran bahawa akan berlaku gangguan kritikal dalam segmen pekerjaan dalam tempoh lima hingga 10 tahun apabila kebanyakan industri mula mengadaptasi AI dalam rutin produktiviti mereka.

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi yang juga penyelidik Advanced Communication Research Unit (ACRU) Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, menjelang 2027 sektor pekerjaan bakal berhadapan dengan suatu gangguan kritikal jika persediaan yang wajar tidak diambil segera.

"Data serta analisis oleh Accenture (firma pakar teknologi maklumat antarabangsa) menunjukkan tatkala berlaku penyusutan kerja bidang-bidang tertentu, pada masa yang sama wujud permintaan berganda kerjaya baharu.

TENAGA pakar manusia masih diperlukan untuk melakukan keputusan kritikal.
TENAGA pakar manusia masih diperlukan untuk melakukan keputusan kritikal.

"Dijangkakan wujud lonjakan sejumlah 40 peratus kerjaya yang berteraskan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin.

"Malah kerjaya seperti penganalisis dan saintis data turut diramalkan meningkat sekitar 30 hingga 35 peratus yang secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan baharu," katanya.

Beliau berkata, permintaan kerja bagi penganalisis keselamatan maklumat pula berpotensi berkembang sebanyak 31 peratus.

Katanya, laporan itu menjangkakan hampir satu per empat daripada pekerja akan bertukar kerja, terutamanya berpunca kemunculan teknologi baharu seperti AI, ChatGPT dan ML.

KEUPAYAAN AI hanya memudahkan tugasan manusia dan tidak menggantikan kepakaran manusia khusus untuk segmen kritikal.
KEUPAYAAN AI hanya memudahkan tugasan manusia dan tidak menggantikan kepakaran manusia khusus untuk segmen kritikal.

"Pengadaptasian teknologi dan komunikasi digital yang lebih tinggi berpotensi mewujudkan pertumbuhan pekerjaan bersih serta mewujudkan pengimbangan yang lebih besar daripada kerugian.

"Pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan, kekurangan bekalan dan inflasi menimbulkan risiko terbesar kepada sektor pekerjaan.

"Ini semua berlaku akibat daripada gelombang Revolusi Industri 4.0 dan negara ini tidak terkecuali daripada terkena tempias berkenaan," katanya.

Pemilik industri perlu melaksanakan program-program peningkatan kemahiran dan penyesuaian semula kemahiran agar para pekerja berupaya berinteraksi dan melaksanakan tugas seiring dengan rangka komunikasi digital masa kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 7:01 AM