Muhammad Saufi Hassan

Sebanyak 46 peratus perniagaan dalam sektor teras sudah beralih menggunakan perkhidmatan awanan serta memacu ke arah digitalisasi pasca pandemik Covid-19.

Sektor teras ini membabitkan segmen pembuatan, pengedaran, bekalan bangunan, automatif, runcit dan penjagaan kesihatan sudah beralih kepada penggunaan perkhidmatan berkenaan secara lebih menyeluruh.

Pengurus Kanan Epicor Malaysia, Ben Lim berkata, di negara ini, 98.5 peratus daripada perniagaan adalah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan kira-kira 48.1 peratus daripada perniagaan ini sudah menerapkan beberapa bentuk digitalisasi walaupun masih di peringkat awal.

"Namun demikian, 70 peratus perniagaan baru mula mengenali digitalisasi atau belum memulakan perjalanan digitalisasi . 

"Berdasarkan laporan penyelidikan bertajuk 'Mempercepat PKS Digital Malaysia', 44 peratus daripada PKS tidak melaksanakan 'perisian sebagai perkhidmatan' (SaaS) awanan untuk menambah baik proses perisian mereka. 

"Sebaliknya, penyelesaian pengkomputeran awan digunakan untuk menyimpan dokumen peribadi, foto serta video mereka," katanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu, walaupun lebih banyak pelanggan beralih kepada perancangan sumber perusahaan (ERP) awan, masih terdapat sebilangan yang terus bergantung pada asas digital yang rapuh, tidak bersepadu, dan lapuk yang menyekat inovasi serta pertumbuhan.

Menurutnya, penyelesaian awanan mampu untuk memecahkan silo unit perniagaan dan dapat diskalakan dengan mudah mengikut keperluan untuk menjamin kecekapan operasi.

"Penggunaan perkhidmatan automasi ini dapat meningkatkan daya saing sekali gus membina satu rangkaian yang kukuj.

"Selepas membina asas digital yang kukuh dan strategi data yang berkesan, sebarang perniagaan dapat memanfaatkan automasi pintar dan sistem refleks automatik dalam perisian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 5:58 PM