SURINA (tengah) dalam Program 100 Go Digital@Langkawi dilancarkan di Pulau Langkawi, Kedah, baru-baru ini. FOTO NSTP
SURINA (tengah) dalam Program 100 Go Digital@Langkawi dilancarkan di Pulau Langkawi, Kedah, baru-baru ini. FOTO NSTP
Suliati Asri

ERA digital nyata memberi impak yang besar dalam kehidupan dengan digitalisasi, ia memudahkan segala urusan dan semuanya di atas talian.

Namun, tidak semua yang sudah beralih ke arah digitalisasi ini terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Justeru, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) kini giat membantu peniaga tempatan memanfaatkan digital menerusi program 100 Go Digital.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata 100 Go Digital adalah inisiatif membantu dan membolehkan perniagaan tradisional dalam sektor utama bergerak ke arah digitalisasi untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan perniagaan dan pengalaman pelanggan.

Katanya, menerusi program ini, MDEC bekerjasama dengan peniaga bagi menyelesaikan masalah dalam bidang digitalisasi yang sentiasa berubah.

“Justeru, Program 100 Go Digital ini inisiatif diambil MDEC untuk membantu lebih banyak syarikat ke arah lebih digital,” katanya.

Dengan memanfaatkan inisiatif usahawan mikro, eUsahawan MDEC yang berjaya, 100 Go Digital menjadi langkah seterusnya bagi peserta meningkatkan perjalanan digital.

Program 100 Go Digital dilancarkan di Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) nyata mendapat sambutan yang menggalakkan .

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Dr Hezri Adnan berkata inisiatif 100 Go Digital mampu membantu komuniti perniagaan di Langkawi kerana ianya menyediakan khidmat nasihat dan bengkel untuk mengaplikasikan teknologi digital dalam perniagaan mereka.

“Pelbagai manfaat akan diperoleh melalui hasil pendigitalan perniagaan terutamanya akan melonjakkan lagi potensi perniagaan dan menikmati hasil daripada industri pelancongan di sini,” katanya.

Rata-rata peniaga terutama dalam sektor pelancongan berpendapat, ia sangat bagus dalam membantu pemasaran dan pembayaran.

Pelancong asing yang berkunjung ke pulau peranginan popular itu kebanyakannya lebih gemar menggunakan perkhidmatan atas talian.

Pelancong juga kini lebih memilih untuk berurus niaga tanpa menggunakan wang tunai yang mana lebih mudah dan selamat.

MDEC juga menjalankan projek bersama iPay88; aggregator pembayaran atas talian untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Cenang Mall dan kawasan sekitarnya yang sudah mencapai 95 peratus pengangkatan digitalisasi melalui aplikasi pembayaran atas talian.

Calvin Yeap dari iPay88 menekankan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mendigitalisasi perniagaan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan pendapatan.

“Dengan aplikasi pembayaran dalam talian yang disediakan seperti Boost, GrabPay, MaybankQR, Touch & Go e-dompet dan banyak lagi, ia memudahkan transaksi pembayaran menggunakan telefon pintar sekali gus menjimatkan masa” katanya.

Pelanggan juga nyata tidak terbeban untuk mencari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk berbelanja dan tidak perlu membawa wang yang banyak ketika bercuti di Langkawi.

Untuk maklumat lanjut lawati https://mdec.my/digital-economy-initiatives/100-go-digital/

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 10:00 AM