Muhammad Saufi Hassan

 

 

Pengeluar peranti pintar terkemuka, Xiaomi mengumumkan barisan telefon pintar baharu mereka daripada generasi Xiaomi 13 untuk pasaran tempatan.

  Pengenalan peranti baharu itu juga turut didatangkan dengan lensa hasil kerjasama Xiaomi serta Leica untuk menghasilkan imej gambar serta video kualiti tinggi.

  Menerusi barisan peranti Xiaomi 13 serta Xiaomi 13 Pro, ia dilengkapi dengan spesifikasi termaju yang berada di pasaran ketika ini dan pengalaman penggunaan kamera mudahalih terbaik dalam kelasnya.

  Menyentuh aspek spesifikasi, kedua-dua variasi peranti ini menggunakan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 bersama sistem pengurusan bateri rekaan Xiaomi bagi memastikan pengalaman kepenggunaan pada tahap paling maksimum termasuk jangka hayat bateri.

  Bagi variasi Xiaomi 13 Pro, ia menggunakan paparan OLED LTPO bersama saiz skrin 6.73 inci dengan kadar segar semula 120Hz sesuai untuk semua kepenggunaan khusus permainan mudahalih.

  Sistem kamera pula menggunakan sensor Sony IMX989 dengan kapasiti 50 megapiksel (MP), kamera ultra lebar 50MP dan lensa telefoto 50MP.

  Tanda harga untuk Xiaomi 13 ialah RM3,499 untuk model 12GB bersama storan 256GB, pada masa sama Xiaomi 13 Pro dijual pada harga RM4,599 untuk model 12GB dengan storan 256GB dan RM5,999 untuk model 12/512GB.

  Pengurus Xiaomi Malaysia dan Singapura, Nicolas Shi berkata, kedua-dua variasi berkenaan menawarkan pengalaman kepenggunaan yang samgat berbeza serta unik untuk kelas peranti kelas perdana.

  "Menerusi peranti perdana baharu ini, ia akan mengubah landskap fotografi mudah alih terutamanya dengan pengenalan sistem kamera hasil kejuruteraan Xiaomi bersama-sama dengan Leica.

  "Ia sekali gus memberikan darjah kesempurnaan penghasilan gambar yang jauh lebih baik dan kami sangat yakin peranti ini akan memenuhi setiap keperluan pengguna pada hari ini," katanya.

  

  • Spesifikasi Xiaomi 13 Pro

  • Pemproses: Snapdragon 8 Gen 2

  • RAM: 12GB

  • Storan: 256/512GB

  • Kamer: 50MP + 50MP + 50MP
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 5:25 PM