APPLE lancarkan kaedah pembayaran Apple Pay menggunakan semua peranti mereka tanpa masukkan butiran diri.
APPLE lancarkan kaedah pembayaran Apple Pay menggunakan semua peranti mereka tanpa masukkan butiran diri.
Muhammad Saufi Hassan


DUNIA digitalisasi pada hari sememangnya memberi banyak kemudahan kepada pengguna khususnya dalam kaedah transaksi setiap pembayaran.

Jika dulu, pembayaran hanya dilakukan menggunakan wang fizikal, pembayaran bil tertentu di kaunter-kaunter dan keadaan itu berubah dengan kewujudan perbankan Internet.

Semua transaksi boleh dilaksanakan dengan mengakses akaun pemilik dan pembayaran boleh dilakukan tanpa sebarang masalah.

Revolusi pembayaran membolehkan pada hari ini pengguna hanya membawa telefon pintar serta jam pintar untuk melakukan setiap transaksi.

Kemudahan berkenaan memberi bayangan cukup jelas tentang landskap persekitaran digital pada masa depan apabila semua maklumat boleh diimbas dan disimpan di dalam telefon pintar atau peranti boleh pakai (wearables).

Terbaru, syarikat peneraju teknologi, Apple melancarkan kaedah pembayaran Apple Pay di Malaysia selepas kaedah pembayaran sama digunakan di 60 buah negara lain seluruh dunia.

Pengguna boleh melakukan transaksi menggunakan Apple Pay di semua peranti mereka seperti iPhone, Apple Watch, iPad dan Mac dengan mudah tanpa memasukkan berkali-kali butiran diri.

Ia adalah cara yang lebih mudah serta lebih selamat khususnya untuk pembayaran pembelian rutin seperti barang-barang keperluan asas tanpa mempamerkan kad fizikal sebaliknya hanya mengimbas menggunakan peranti saja.

SETIAP transaksi memerlukan imbasan biometrik wajah atau kod pin peranti.
SETIAP transaksi memerlukan imbasan biometrik wajah atau kod pin peranti.

Naib Presiden Apple Pay dan Apple Wallet, Jennifer Bailey berkata, kaedah pembayaran berkenaan menawarkan transaksi sangat mudah kepada pengguna dan ciri keselamatan yang sentiasa diutamakan.

"Kami berbesar hati untuk membawa Apple Pay ke Malaysia, menyediakan cara yang lebih mudah, selamat dan lebih selamat untuk membayar menggunakan iPhone, Apple Watch, iPad dan Mac.

"Kami fikir pengguna akan menyukai kemudahan dan keselamatan menggunakan Apple Pay.

"Pelanggan kami di Malaysia akan mendapat manfaat daripada menggunakan Apple Pay dengan sokongan bank, pedagang dan aplikasi kegemaran pelanggan kami," katanya.

Keselamatan dan privasi adalah teras kepada kaedah pembayaran Apple Pay yang menampilkan perlindungan peneraju industri bagi maklumat peribadi pengguna, data transaksi dan maklumat kad kredit serta debit.

PENGGUNA tidak lagi perlu membawa kad fizikal bank sebaliknya hanya menyimpan di dalam peranti pintar untuk melakukan transaksi.
PENGGUNA tidak lagi perlu membawa kad fizikal bank sebaliknya hanya menyimpan di dalam peranti pintar untuk melakukan transaksi.

Nombor kad kredit dan debit tidak disimpan pada peranti atau pada pelayan Apple, sebaliknya, ia akan memberikan 'Nombor Akaun Peranti' yang unik diberikan.

Ia juga akan melaksanakan kaedah penyulitan dan disimpan dengan selamat dalam 'Security Element' pada peranti pengguna dan setiap transaksi dilaksanakan dengan kod keselamatan dinamik unik.

Malah, jika berlaku kehilangan peranti pintar, iPhone, pengguna boleh menggunakan kefungsian mencari peranti 'Find My iPhone' serta meletakkan mod 'hilang' sekali gus pengguna boleh menjejaki peranti dan menyekat semua transaksi jika ada.

Pengguna juga tidak perlu bimbang jika berhubung transaksi menggunakan Apple Pay kerana setiap kali transaksi dilaksanakan ia memerlukan imbasan biometrik wajah sebelum pembayaran berkenaan berjaya.

Untuk pengguna di Malaysia, setakat ini tiga institusi perbankan iaitu Maybank, AmBank dan Standard Chartered menikmati kaedah pembayaran baharu Apple Pay.

KAEDAH pembayaran Apple Pay ini melindungi pengguna dan semua butiran tidak disimpan di dalam pelayan sebaliknya dalam bentuk kod unik.
KAEDAH pembayaran Apple Pay ini melindungi pengguna dan semua butiran tidak disimpan di dalam pelayan sebaliknya dalam bentuk kod unik.

Bagi pemilik akaun Maybank, mereka boleh mengimbas kad debit atau kad kredit untuk menggunakan perkhidmatan Apple Pay manakala dua lagi institusi iaitu AmBank dan Standard Chartered hanya untuk kad kredit saja buat masa ini.

Pengenalan kaedah pembayaran baharu Apple Pay di Malaysia memperlihatkan bahawa transaksi menerusi dompet digital menjadi landskap baharu kepada dunia pada hari ini.

Untuk menyimpan kad debit atau kad kredit berkenaan, pengguna hanya perlu meletakkan kad debit atau kad kredit di dalam ruang pengimbasan selepas memilih pilihan 'Wallet & Apple Pay' di dalam ruangan penetapan (setting).

Selepas itu, pengguna diminta untuk mengimbas kad debit atau kad kredit di dalam tetingkap disediakan sebelum kod keselamatan OTP dihantar kepada nombor telefon yang berdaftar dengan perbankan berkenaan.

Bagi menggunakan perkhidmatan ApplePay berkenaan, pengguna hanya perlu menekan dua kali di bahagian butang sebelah kanan dan peranti akan meminta pengesahan biometrik wajah atau kod pin untuk meneruskan transaksi.

SISTEM pembayaran baharu dengan kaedah maklumat transaksi yang disulitkan khusus untuk melindungi pengguna.
SISTEM pembayaran baharu dengan kaedah maklumat transaksi yang disulitkan khusus untuk melindungi pengguna.

Pengguna hanya perlu mendekatkan peranti pintar iaitu iPhone ataupun Apple Watch dengan terminal transaksi untuk melakukan pembayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 6:20 AM