MSI Spatium M480.
MSI Spatium M480.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

Era storan cakera keras sudah semakin sampai ke penghujungnya apabila kebanyakan pengguna hari ini lebih cenderung untuk menggunakan sistem teknologi baharu daripada modul M.2 PCIe NVMe.

Sistem storan berkenaan bukan saja menawarkan kuasa pemindahan atau penyalinan data lebih tinggi sebaliknya tidak mempunyai wayar sambungan sekali gus memudahkan urusan kabel desktop untuk pengguna.

Jenama kelas permainan terkemuka, MSI iaitu Spatium M480 PCIe 4.0 NVMe M.2 2TB yang mampu merekodkan bacaan data sehingga 7,000 MB/S.

Bagi kadar pemindahan data pula, Spatium M480 ini mampu merekodkan kadar 6,800 MB/S tanpa sebarang masalah sekali gus menjadikan tugas rutin pengguna lebih mudah dan pantas.

Berdasarkan jumlah kapasiti yang tinggi, pengguna tidak lagi perlu menggunakan sistem storan lain sebaliknya hanya menggunakan satu perkakas untuk penyimpanan semua fail sedia ada.

Menyentuh aspek spesifikasinya, perkakas ini adalah daripada generasi keempat sambungan PCIe dan NVMe 1.4 memberikan keupayaan kepantasan kepada pengguna.

Bayangkan jika Spatium M480 ini digunakan untuk 'bootable drive' bagi sistem operasi Windows pengguna, pastinya kurang daripada empat saat segalanya sudah siap tanpa perlu menunggu lama.

Berdasarkan maklumat, storan ini mampu bertahan sehingga 1.6 juta jam sebelum perkakas berkenaan akan berdepan dengan masalah seperti kegagalan penyimpanan dan sebagainya atau lebih dikenali sebagai 'Mean Time Between Failure'.

MSI juga membekalkan tempoh jaminan sehingga lima tahun dan ia turut sesuai dipadankan untuk PCIe 4, generasi ketiga, kedua dan pertama tanpa sebarang masalah.

Secara keseluruhannya, penulis cukup berpuas hati dengan prestasi storan ini yang menawarkan keupayaan pembacaan serta pemindahan data yang pantas tanpa sebarang masalah.

Ia juga sesuai untuk dijadikan 'bootable drive' sekali gus memberi pengalaman yang jauh berbeza kepada pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 11:18 PM