GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhammad Saufi Hassan

SYARIKAT gergasi berpangkalan di China, Huawei sudah bersedia untuk melaksanakan infrastruktur 5G di seluruh Asia Tenggara.

Berdasarkan laporan portal The Verge menyatakan bahawa Huawei bersedia untuk memainkan peranan besar dalam pembangunan jaringan telekomunikasi termaju iaitu 5G.

Naib Presiden Huawei, Edward Zhou berkata, pihaknya begitu fokus untuk membangunkan teknologi berkenaan di rantau ini dengan keupayaan yang ada.

“Kita (Huawei) menyokong ASEAN di dalam pembangunan 5G di rantau ini yang mempunyai 10 negara anggota,” katanya.

Teknologi 5G berkenaan akan memberi manfaat besar kepada segmen industri termasuk beberapa bidang utama seperti perubatan, telekomunikasi dan pengawalan keselamantan.

Terdahulu, jurucakap Huawei dalam satu laporan AFP menyatakan bahawa syarikat itu sudah melabur sekitar RM20 juta untuk fasa percubaan bagi pasaran di Asia Tenggara.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi berpangkalan di Filipina, Globe Telecom menyatakan bahawa pihaknya sudah melancarkan perkhidmatan jalur lebar 5G menggunakan teknologi Huawei.

Pada masa sama, Malaysia antara negara pertama di Asia untuk memanfaatkan teknologi rangkaian 5G dengan pelancaran projek demonstrasi 5G di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 1:08 PM