ASUS ROG Phone II
ASUS ROG Phone II
hmdigital

PENGGUNA hari ini lebih gemar memilih telefon pintar dalam kelas permainan mudah alih memandangkan ia bukan saja menawarkan spesifikasi sangat baik, malah prestasinya mengagumkan.

Jenama perkakasan barangan komputer bagi kelas permainan, ASUS menerusi barisan produk ‘Republic of Gamers’ (ROG) melancarkan siri telefon pintar terbaharu mereka iaitu ROG Phone II selepas kejayaan siri pertama.

Menerusi pelancaran peranti baharu itu, objektif ROG Phone II masih sama iaitu memberi nilai prestasi kepada pengguna dengan padanan spesifikasi terkini untuk kelas permainan mudah alih.

Menyentuh aspek spesifikasi peranti terkini mereka, ia akan menggunakan pemproses kelas perdana milik Qualcomm iaitu Snapdragon 855+ yang dipadankan dengan memori (RAM) sebanyak 12GB.

Pemproses terbaharu milik Qualcomm itu mempunyai prestasi lebih baik berbanding generasi sebelumnya iaitu Snapdragon 855 dan berupaya menjimatkan bateri serta memaksimumkan prestasi.

Sistem storan bagi peranti yang akan dipasarkan di Malaysia memiliki dua varian iaitu 512GB dan 1TB, mengikut kesesuaian serta pilihan pengguna.

Skrin telefon pintar ini berkeluasan 6.59 inci dan menggunakan paparan AMOLED untuk menghasilkan warna lebih terang dan jelas.

Sistem operasi peranti itu akan menggunakan pemuka yang dibangunkan ROG, tetapi berasaskan kepada Android 9.0 Pie untuk memberi keselesaan kepada pengguna telefon pintar berkenaan.

Kamera utama menggunakan dua lensa iaitu 48 megapixel (MP) sudut lebar dan 13MP sudut ultra lebar untuk merakam imej yang berkualiti.

Kapasiti bateri adalah 6,000mAh sesuai dengan fokus peranti itu untuk memberi kepuasan kepada pengguna kelas permainan mudah alih tanpa perlu bimbang berhubung kehabisan bateri.

Peranti ini turut menyokong pengecasan pantas 30W dan sistem pengecas pantas 4.0.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 9:14 AM