GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhammad Saufi Hassan


TABIAT pengguna kebiasaannya menyimpan pelbagai kata laluan, identiti unik yang mengandungi maklumat sensitif dan pelbagai transaksi dalam telefon pintar.

Selain daripada kata laluan perbankan Internet, akaun laman sosial, log masuk sistem komputer di pejabat sehingga kepada data tertentu turut disimpan dalam peranti mereka.

Kehidupan di alam siber sememangnya tidak mudah apabila setiap individu mempunyai lebih daripada lima akaun kata laluan yang perlu diingati termasuk ketika melakukan transaksi perbankan Internet.

Jawapan mudah untuk sentiasa mengingati kata laluan adalah menyimpannya dalam aplikasi nota pada peranti dan kebanyakan pengguna berasakan setiap kata laluan yang disimpan adalah sangat selamat memandangkan hanya mereka saja yang boleh mengakses telefon pintar itu.

Ia satu kesilapan besar pengguna kerana berasakan kata laluan mereka selamat disimpan dalam peranti sedangkan sudah wujud perisian hasad (malware) yang dicipta untuk mencuri data sensitif pengguna menerusi telefon pintar tanpa diketahui pengguna.

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh pembangun perisian keselamatan siber iaitu Kaspersky mendapati, 940,000 pengguna sudah menjadi mangsa kecurian kata laluan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Jumlah berkenaan adalah peningkatan sangat drastik iaitu sekitar 60 peratus dalam tempoh separuh pertama 2019 berbanding tahun lalu.

Perisian hasad pencurian kata laluan (password stealing ware - PSW) dicipta untuk memanipulasi kecuaian pengguna sekali gus membolehkan penjenayah siber memperoleh wang dengan cara mudah.

Data dikongsi Kaspersky menunjukkan, bilangan pengguna yang menjadi sasaran PSW setakat tahun ini adalah lebih 940,000.

Ia satu jumlah peningkatan yang sangat tinggi berbanding pada tahun lalu bagi tempoh yang sama, kurang daripada 600,000 pengguna menjadi mangsa perisian hasad berkenaan.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Kaspersky mengesan aktiviti PSW yang sangat tinggi khususnya di Eropah dan Asia, manakala pengguna di negara seperti Russia, India, Brazil, Jerman dan Amerika Syarikat (AS) adalah yang paling kerap menjadi sasaran perisian hasad berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 8:58 AM