NOTE9.
NOTE9.
Afiq Hanif

Samsung mencatat sejarah sebagai telefon pintar pertama di dunia yang mempunyai slot dalaman 512GB di samping slot kad microSD menjangkau 1TB dengan model Galaxy Note9.

Galaxy Note9 secara rasmi akan dijual di Malaysia pada 24 Ogos ini dengan pra tempahan bermula 10 Ogos lalu hingga 19 Ogos ini.

Note 9 akan dijual pada harga RM4,699 (8GB+512GB) dan RM3,699 (6GB+256GB).

Empat warna ditawarkan iaitu hitam, metalik, biru dan ungu.

Berasaskan bateri 4000mAh, S Pen terus menjadi nadi dengan fungsi ditambah Bluetooth untuk beberapa kegunaan.

Dengan dua lensa pada kamera, satu sudut lebar dan satu lagi telefoto pada resolusi 12MP+12MP. Kamera depan pula 5MP pada f1.7.

Malaysia akan menerima peranti berasaskan Exynos 9810 dengan skrin 6.4 inci quad HD+ Super AMOLED.

Samsung Galaxy Note 9 juga tidak lagi memerlukan DEX untuk sambungan ke TV atau monitor apabila ia dihubung terus dengan kabel USB-C.

Phablet Note 9 menggunakan audio jenis AKG Harmon dan dikatakan sangat sesuai bermain game.

Note 9 yang juga IP68 ini termasuk S Pen mempunyai perubahan kamera di mana lensa mampu mengesan imej kabur dan mata tertutup.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian IT dan Komunikasi Mudah Alih Samsung DJ Koh, berkata Galaxy Note9 adalah telefon baru yang besar tapi penuh inovasi menyambung legasi telefon pintar premium menampilkan prestasi mengagumkan sejak penampilan sirinya yang pertama.

NOTE9 bawa perubahan.
NOTE9 bawa perubahan.

“Anda boleh lihat, Note9 mempunyai kelebihan tersendiri apabila baterinya mampu bertahan sepanjang hari meskipun digunakan secara terus kerana didatangkan bersama kapasiti bateri 4,000mAh iaitu terbesar dari siri Galaxy.

“Tidak dilupakan dan semestinya ia menjadi tunggak kepada siri Note, peminat setia tersendiri yang mahu melakukan pelbagai aktiviti dengannya, jadi siri baharu ini didatangkan dengan dua pilihan storan dalaman, iaitu 128GB atau 512GB,” katanya.

Katanya, pengenalan kad microSD 1TB juga akan tiba tidak lama lagi.

“Mungkin ada yang risau mengenai operasinya.

“Pengguna tidak perlu bimbang apabila menggunakan telefon pintar ini secara berterusan kerana ia mempunyai sistem Water Carbon Cooling serta penyesuaian prestasi berteraskan kecerdasan pintar (AI),” katanya.

Samsung Galaxy Note 9 mempunyai paparan 6.4 inci Super AMOLED Infinity yang memberikan pengguna dengan pengalaman multimedia yang luar biasa selain pembesar suara stereo AKG Harmon menyesuaikan bunyi keliling pintar.

Hasilnya, bermain game pada phablet ini menjadikannya seakan bermain dalam bilik penuh aksi ataupun sudah pasti dengan trend menonton strim video ‘online’ sekarang, ia membantu memperdengarkan audio dengan lebih jelas.

Nadi utama, S Pen pula berkembang dengan pelbagai fungsi dan kelebihan seperti berupaya menjadi pengawal atau butang shutter kepada kamera jika ia diletakkan sejauh 10 meter sekali pun.

SESUAI untuk main game.
SESUAI untuk main game.

Untuk mengecas S Pen pula, hanya cukup dengan masukkan kembali ke slot dalam telefon selama 30 saat.

“Dengan sokongan Bluetooth Low-Energy (BLE), S Pen baharu itu berkeupayaan untuk menyampaikan cara baru dalam mengendalikan Note9,” kata Koh.

Selain itu, ia juga diperhebatkan dengan kamera pintar yang mampu mengesan sehingga 20 elemen dalam sesebuah gambar dirakam dan memberikan hasil fotografi yang dinamik dan warna jelas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 1:53 PM