KETIKA berpuasa kulit jadi lebih mudah kering.
KETIKA berpuasa kulit jadi lebih mudah kering.
Yusliza Yakimir Abd Talib


KETIKA berpuasa, kulit lebih mudah kering kerana tidak mendapat air yang secukupnya pada sebelah siang. Keadaan ini lebih teruk bagi individu yang tidur dalam bilik berhawa dingin selepas sepanjang hari bekerja di pejabat yang sejuk.

Kekurangan air juga memberi kesan tersendiri pada badan dan keadaan kulit terutama kulit muka. Kulit muka menjadi kusam, kasar dan kering.

Antara tanda kulit kering adalah terbentuk garis kedut halus, terutama di tulang pipi, sekitar mata dan dahi diiringi rasa gatal, kaku dan kemerahan pada kulit. Apabila keadaan ini dibiarkan terlalu lama, sel kulit akan mati hingga mengelupas seterusnya menjadi kusam.

Seterusnya, apabila dehidrasi terjadi ketika berpuasa, kerosakan kulit menjadi lebih parah sekiranya langkah pencegahan tidak diambil segera.

Bagaimanapun, usah bimbang kerana keadaan itu dapat diatasi dengan banyak cara, malah masalah ini boleh dikurangkan dengan menjauhkan diri daripada punca menyebabkan kulit kering seperti menghindari tempat panas atau sejuk yang ekstrem.

Berikut antara langkah yang boleh diamalkan untuk mengelakkan kulit kering ketika berpuasa:

1. Minum banyak air kosong ketika bersahur dan selepas berbuka. Air bukan hanya menghidrat dan melembapkan kulit, malah membuatkan anda dapat menahan lapar serta berfungsi dengan baik sepanjang hari.

Secara purata tubuh memerlukan lapan gelas air sehari. Elakkan minuman seperti kopi dan teh kerana ia bersifat diuretik atau mendorong pengeluaran air kencing. Anda juga boleh makan buah-buahan segar ketika berbuka atau bersahur untuk menambah kandungan air dalam tubuh.

Apabila pergi ke surau atau masjid untuk solat Tarawih, bawalah botol air. Anda boleh minum selepas selesai rakaat kedua, keempat, keenam dan seterusnya. Melalui cara ini, anda dapat menambah pengambilan air secara sedikit demi sedikit.

PELEMBAP wajah penting untuk mengelak kulit kering semasa puasa.
PELEMBAP wajah penting untuk mengelak kulit kering semasa puasa.

2. Jika anda seorang yang gemar mengenakan solekan tebal, seelok-eloknya ia diminimumkan seketika sepanjang Ramadan. Selain mengelakkan kulit kering, ia dapat merehatkan kulit dari bahan kimia yang terkandung dalam produk kosmetik.

3. Jika anda bekerja di pejabat atau tempat yang berhawa dingin, kesegaran kulit muka boleh dikekalkan dengan semburan air mineral ke wajah untuk mengelakkan kekeringan. Anda juga boleh meletakkan bekas berisi air di meja (yang tidak ditutup) untuk melembapkan udara.

4. Pelembap wajah dan badan adalah sebahagian perawatan yang sangat penting ketika berpuasa. Gunakanlah kosmetik atau krim perawatan yang mengandungi pelembap untuk mengekalkan kelembapan kulit dan pakai krim khas melembapkan bagi memaksimumkan fungsinya.

5. Selain pelembap, pilih sabun atau cecair mandian dengan pH seimbang, sesuai keadaan kulit masing-masing. Elakkan sabun yang sifatnya terlalu kuat dan boleh mengeringkan kulit.

6. Salah satu masalah yang sukar dihindari ketika berpuasa adalah masalah nafas berbau. Untuk mengatasinya, banyakkan minum air selepas berbuka dan ketika bersahur. Gunakan juga cecair berkumur yang mengandungi antiseptik.

7. Pastikan rejim penjagaan kulit seperti

biasa agar kulit kekal sihat selama menjalankan ibadat puasa dengan rutin membersihkan wajah, ‘eksfoliasi’ dan melembapkan kulit. Cara ini akan membuat kulit terhindar dari masalah yang merosakkan penampilan.

8. Selain melakukan penjagaan luar, anda boleh menjaga kesihatan kulit dari dalam dengan mengambil makanan kaya serat seperti buah, kekacang, ikan dan makanan berserat agar kulit sentiasa sihat sepanjang bulan ini.

9. Yogurt antara makanan yang baik untuk kesihatan maka ia elok diambil sepanjang Ramadan ini. Jika dapat menjadikan pengambilan yogurt sebagai amalan sepanjang hayat, ia lebih baik. Kandungan protein yang tinggi dalam yogurt dapat memberi nutrisi pada kulit secara optimum. Ambil ketika bersahur atau berbuka malah jadikan yogurt sebagai pupur kulit untuk kekal berseri.

10. Sememangnya kecantikan dan penjagaan kulit wajah amat penting terutama bagi kaum wanita, namun pada bulan mulia ini juga sewajarnya kita meningkatkan kecantikan rohani dengan menggandakan amal ibadat, menjaga semua perkara yang boleh menjejaskan kualiti puasa khususnya percakapan, pemikiran, penglihatan, pendengaran dan lintasan hati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 5:00 AM