KU Anis (depan) bersama juruterapi terlatih spa miliknya. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
KU Anis (depan) bersama juruterapi terlatih spa miliknya. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Yakimir Abd Talib


BERPUASA bukanlah alasan untuk bermalas-malas di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti sebaliknya anda boleh menyegarkan tubuh dengan perawatan di spa.

Mungkin ada wanita yang ragu-ragu sama ada kunjungan ke spa untuk melakukan urutan badan, rawatan wajah atau mandi jakuzi dibolehkan ketika berpuasa.

Perkara ini tidak perlu dibimbangkan kerana tiada sebarang kesan negatif jika melakukan semua perawatan ini semasa berpuasa. Malah, dengannya anda boleh kelihatan lebih bertenaga dan menawan.

Jika punya kelapangan, apa kata anda berkunjung ke spa dan pusat kecantikan. Bukan sahaja boleh merawat kulit wajah dan badan, malah ia boleh dijadikan sebagai satu hadiah buat diri selepas melalui hari yang memenatkan dengan rutin kerja saban hari.

MANDIAN bunga dan jakuzi menyegarkan tubuh yang keletihan. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
MANDIAN bunga dan jakuzi menyegarkan tubuh yang keletihan. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria

Pengasas Joynis Spa Bangi Sentral, Ku Anis Ku Zamil berkata, selain urutan badan wanita juga digalakkan menjaga wajah agar sentiasa segar menawan walaupun berpuasa terutama bagi wanita yang banyak menghabiskan masa memasak di dapur.

“Kulit muka wanita ini mungkin terjejas kerana selalu terdedah kepada bahang panas di dapur. Bagi yang bekerja di pejabat pula, mereka lebih terdedah kepada pendingin hawa yang menyebabkan kulit mudah kering.

“Oleh itu, sempena Ramadan ini, terdapat beberapa perawatan yang kami sediakan khusus buat wanita yang mahu tampil segar dan menawan walaupun kesibukan rutin menyediakan juadah sahur dan berbuka puasa,” katanya.

RAMUAN asli daripada herba untuk mencantikkan kulit. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
RAMUAN asli daripada herba untuk mencantikkan kulit. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria

Menurutnya, rawatan pupur wajah menggunakan bahan semula jadi seperti temulawak, kulit kayu manis, kacang hijau, beras dan kunyit hidup bukan saja menaikkan seri wajah malah membantu menyegarkan wajah yang keletihan.

Katanya, campuran bahan herba mengandungi banyak khasiat untuk kulit dan amat sesuai dilakukan ketika berpuasa apatah lagi kulit wajah lebih mudah kering kerana tidak cukup air.

Katanya, spa itu bukan saja menyediakan khidmat urutan badan, malah khidmat kecantikan dari hujung rambut ke hujung kaki dalam suasana selesa untuk Muslimah pelbagai usia.

“Kelebihan yang dapat dinikmati semasa melakukan rawatan urut, wajah dan juga rambut di spa ini ialah sebagai Muslimah, anda juga dapat menjaga aurat dan bersolat kerana tempat solat disediakan.

PUPUR koko dan urutan refleksologi kaki melembut serta melembapkan kulit. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
PUPUR koko dan urutan refleksologi kaki melembut serta melembapkan kulit. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria

“Inilah masanya untuk anda membelai diri anda dengan ruang masa dan tempat yang mendamaikan di sebalik kesibukan tugas seharian dan berpuasa di bulan Ramadan,” katanya.

Anis berkata, ramai yang tertanya-tanya sama ada boleh melakukan rawatan kecantikan ketika sedang berpuasa. Ia tidak salah, namun anda harus tahu panduan perawatan apa yang boleh dan tidak agar ia tidak memudaratkan diri.

Antara perawatan yang tidak digalakkan semasa berpuasa adalah bersauna kerana aktiviti ini akan mengeluarkan peluh dan membuatkan kita cepat dahaga.

Selain perawatan wajah, urutan refleksologi dan pupur kaki di spa itu turut menggunakan herba dan ramuan yang diadun sendiri. Antara yang sesuai dan baik ketika berpuasa adalah menggunakan serbuk koko untuk melembut dan melembapkan kulit kaki.

URUTAN wajah dapat melancarkan perjalanan darah di wajah. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
URUTAN wajah dapat melancarkan perjalanan darah di wajah. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 5:00 AM