Siti Zarinah Sahib

Apabila Dr Hon Mun Cheng, disahkan hamil anak pertama 13 tahun lalu dia yakin dengan ilmu kedoktorannya dia dapat melalui saat kehamilan dengan lancar terutama memastikan anak dalam kandungan berada dalam keadaan sihat dan sempurna.

Namun apabila doktor mengesahkan bayinya mengalami masalah kecil masa kehamilan (KMK) sewaktu trimester terakhir, ia bagaikan mimpi ngeri buat Dr Hon.

“Saya terkejut apabila bayi saya disahkan KMK sewaktu trimester ketiga. Bagaimana perkara itu boleh terjadi sedangkan saya menjalani rutin rawatan pranatal lengkap dan mengamalkan pemakanan sihat.

“Bukan itu saja, bagi memastikan kenaikan berat badan dalam keadaan terkawal, saya mengikut setiap saranan doktor. Malangnya apabila saya disahkan mengalami KMK ia sangat mengejutkan dan di luar jangkaan,” katanya.

Katanya, sebagai pakar kanak-kanak berpengalaman, dia sering bertemu ibu yang bimbang dan cemas mengenai tumbesaran dan kesihatan bayi yang tidak normal. Oleh itu, dia sentiasa memberikan dorongan dan cuba menenangkan mereka.

“Saya bukan saja memberikan ubat-ubatan sesuai dan merawat penyakit tetapi memainkan peranan sebagai kaunselor dalam membantu menyelesaikan masalah mereka. Sudah pasti apabila ia berlaku ke atas diri sendiri, saya sangat kecewa dan sedih,” kata.

Mengakui mempunyai fizikal rendah dengan ketinggian 143 sentimeter (sm) saja tetapi suaminya seorang yang tinggi iaitu 178 sm. Jadi dia langsung tidak terfikir bayinya akan didiagnos sebagai KMK walaupun sedar ibu yang rendah mempunyai risiko mendapat KMK ketika hamil.

Apabila pakar pediatrik menyatakan berat Gabriel selepas kelahirannya, hanya dua kilogram (kg), ia sangat merisaukan. Tambahan pula selepas pemeriksaan gula dalam darah bayi, doktor menasihatkan Dr Hon memantau berat badan Gabriel.

“Tidak dinafikan saya sangat bimbang melihat keadaan Gabriel tetapi saya yakin semua itu dapat diatasi. Sebagai pakar pediatrik, saya juga faham KMK adalah masalah kesihatan yang boleh dirawat,” katanya tenang.

Ketika membesarkan Gabriel, Dr Hon dan suami kerap mengukur dan memantau tumbesaran Gabriel termasuk pemakanannya. Malangnya Gabriel sangat cerewet untuk makan.

“Walaupun kami cuba sedaya upaya membantunya agar membesar sama seperti kanak-kanak lain malangnya dia masih tergolong sebagai pelajar terendah berbanding rakan seusia. Kami membuat kesimpulan ketinggiannya mungkin disebabkan genetik dan kekurangan nutrisi hasil tabiat pemakanannya.

“Tambahan pula, ketika remaja suami saya turut mengalami kelewatan akil baligh. Jadi untuk menenangkan hati, kami mengharapkan Gabriel akan membesar dengan cepat dan lebih tinggi ketika meningkat remaja,” katanya mengharap.

DR HON (kiri) bersama suami dan anak mereka Gabriel (kanan) yang menghadapi masalah gangguan hormon tumbesaran.
DR HON (kiri) bersama suami dan anak mereka Gabriel (kanan) yang menghadapi masalah gangguan hormon tumbesaran.

Malangnya, semua itu tidak berlaku. Apabila Gabriel mencecah usia 10 tahun dan masih tidak mencapai ketinggian sepatutnya Dr Hon berasakan ada sesuatu yang tidak kena lantas segera bertemu pakar endokrinologi pediatrik.

Daripada situ doktor mencadangkan Gabriel mengambil diet kalori tinggi dan melakukan rawatan hormon tumbesaran.

“Keputusan menjalani rawatan ini bukannya mudah. Saya dan suami mengambil masa lama untuk bersetuju memandangkan prosedur rawatan yang sangat banyak. Walaupun bimbang pada mulanya, saya yakin rawatan hormon ini akan memberikan petanda positif kepada Gabriel,” katanya yang banyak membaca mengenai masalah ini.

Pada usia 10 tahun, Gabriel memulakan rawatan hormon tumbesaran yang pertama. Kini, selepas tiga tahun ketinggian Gabriel menunjukkan tahap positif apabila mencecah 142sm, hampir separas ibunya. Malah Dr Hon sangat mengharap Gabriel dapat mencapai ketinggian sekurang-kurangnya 165 hingga 170 sm.

Jelas Dr Hon, apabila difikirkan dia sepatutnya bertemu pakar endokrinologi pediatrik ketika Gabriel berusia lima tahun, pada saat ketinggian dan beratnya masih di bawah tahap ketiga dalam graf tumbesaran. Ini kerana kajian menunjukkan 10 peratus daripada bayi KMK tidak akan mencapai tahap tumbesaran sepatutnya.

“Bagi ibu bapa yang khuatir tumbesaran anak tidak seperti yang sepatutnya mulakan dengan diet kalori tinggi semasa mereka berada di peringkat prasekolah. Sekiranya selepas itu mereka belum mencapai tahap ketinggian sepatutnya pada zaman sekolah rendah, berjumpalah pakar endokrin pediatrik untuk membincangkan pilihan rawatan sewajarnya,” katanya.

Risau anak rendah

Bagi ibu kepada dua cahaya mata, Jeyamany Palanivel pada mulanya beranggapan adalah perkara biasa melihat pertumbuhan Darshana yang bertubuh kecil berbanding rakan seusia. Bagaimnapun, apabila Darshana sering meluahkan kekecewaan kerana diejek rakan sekelas disebabkan paling rendah, dia berasakan perlu melakukan sesuatu.

“Lalu saya dan suami membawa Darshana ke klinik untuk menjalani pemeriksaan. Menerusi laporan perubatan Darshana didiagnos mengalami masalah gangguan hormon tumbesaran (GHD).

“Saya sangat terkejut mendengarnya kerana sebelum ini langsung tidak tahu mengenai GHD. Tidak sangka anak saya menghadapi masalah ini kerana kakak sulungnya agak tinggi dan semua ahli keluarga juga mempunyai ketinggian normal,” katanya.

Bimbang memikirkan keadaan Darshana, Jeyamany dan suami membawa anak mereka bertemu pakar pediatrik. Selepas menilai trajektori tumbesaran pakar pediatrik menyatakan ketinggian Darshana berada di luar julat tumbesaran normal lalu dia mencadangkan Darshana dibawa berjumpa pakar endokrinologi pediatrik.

“Ketika itu, Darshana sudah berumur 11 tahun dan belum terlambat untuk menjalani rawatan sekali gus menangani masalahnya,” katanya.

JEYAMANY (dua dari kiri) bersama suami dan Darshana (kiri) yang mengikuti rawatan hormon tumbesaran.
JEYAMANY (dua dari kiri) bersama suami dan Darshana (kiri) yang mengikuti rawatan hormon tumbesaran.

Darshana menjalani beberapa ujian darah dan keputusan daripada ujian itu menunjukkan gadis ini menghadapi masalah GDH sejak lahir. Pakar endokrinologi pediatrik kemudian mengesyorkan Darshana menerima rawatan hormon tumbesaran selama lima tahun. Jadi, ini bermakna gadis kecil itu perlu menerima suntikan hormon tumbesaran setiap hari.

“Walaupun pada awalnya kami berasa berat hati, akhirnya Darshana bersetuju selepas perbincangan diadakan. Sebagai ibu bapa, kami amat gembira dengan keputusannya kerana kami amat mengharapkan dia mempunyai ketinggian seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Jeyamany menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak seperti Darshana supaya tidak berasa bimbang kerana GHD boleh dirawati.

“Ibu bapa jangan cepat kecewa dan putus asa kerana ada penyelesaian untuk masalah ini. Jika anda mengesyaki anak anda tidak membesar seperti rakannya, segera bertemu doktor untuk menjalani pemeriksaan.

“Patuhi segala nasihat dan arahan doktor mengenai cara merawat GHD termasuk suntikan hormon tumbesaran,” katanya.

Kini Darshana sudah berusia 14 tahun dan mempunyai ketinggian 150sm dan tumbesaran terakhirnya dijangka mencapai 155sm.

Cara memantau perkembangan tumbesaran anak

1. Sentiasa memastikan perkembangan anak sejak berusia enam bulan sehingga mencapai usia enam tahun. Pastikan berat dan ketinggian anak mengikut graf normal seperti yang disyorkan doktor.

2. Segera bertemu doktor sekiranya anak tidak mencapai ketinggian sepatutnya. Lebih awal anda membawa mereka lebih cepat rawatan diberikan.

3. Sentiasa melihat perkembangan anak di sekolah. Adakah dia paling rendah atau kecil di antara rakan sebaya.

4. Pastikan anak mendapat makanan berkhasiat dengan melebihkan makanan tinggi karbohidrat dan protein. Susu juga sangat penting untuk tumbesaran mereka.

5. Dengar rungutan anak-anak, adakah mereka dilabel dengan panggilan kurang manis seperti pendek atau kecil. Beri semangat dan keyakinan yang ketinggian bukan masalah utama.

6. Penting menyimpan buku laporan kesihatan anak-anak walaupun mereka sudah berada di sekolah rendah. Ini kerana laporan ini dapat menunjukkan perbezaan sekiranya terdapat masalah dalam tumbesaran anak anda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 12:59 PM