Intan Mas Ayu Shahimi


‘IBU, saya jumpa ramai kawan baru dekat sana (sambil menuding jari ke arah taman). Ada yang baik serupa Snow White, ada yang jahat dan suka pukul orang. Saya beritahu mereka taman ini ada kamera. Semuanya terakam di televisyen rumah kita.’

Panjang lebar penjelasan si anak sebaik mendapatkan ibunya. Mungkin bagi sesetengah ibu, aduan sebegini tidak mendatangkan kesan kepada diri. Ada juga yang mengambil kata-kata anak begini sebagai bahan jenaka.

Namun sebaik-baiknya ibu bapa berfikir sejenak. Terdapat banyak ruang yang perlu diperbetulkan dalam mendidik komunikasi anak sejak usia kecil hingga mereka remaja dan meningkat dewasa.

Bayangkan andai suatu hari nanti anak anda dilabelkan sebagai pembohong kerana kerap melontar idea dan imaginasi yang bukan-bukan dalam kalangan rakan dan ahli keluarga. Ibarat cubit paha kanan, tentu paha kiri turut terasa, bukan?

Apa pun penyelesaiannya, pasti timbul dulu persoalan - adakah anak saya benar-benar bercakap bohong? Di mana mereka belajar berbohong? Mengapa mereka berbohong dan sejauh mana mereka berbohong?

Kata Pakar Keluarga dan Kasih Sayang, Prof Dr Rozieta Shaary, setiap anak akan melalui fasa berbeza sepanjang tempoh mereka membesar. Bermula sekadar menangis untuk menyampaikan keinginan kepada ibu bapa hinggalah mereka mampu bercakap dan berfikir secara kreatif, anak sentiasa terdedah kepada perubahan serta pengaruh di sekeliling.

“Lazimnya, kita sedar anak pandai berbohong sekitar usia tiga hingga enam tahun. Pada umur ini, anak sebenarnya melalui fasa berangan-angan dan tidak tahu apakah berbohong atau menipu.

“Mereka banyak berimaginasi mengenai tempat, keinginan dan seronok meneroka kehidupan dengan cara tersendiri. Paling penting, mereka masih tidak tahu membezakan perkara yang betul atau salah. Mereka melihat setiap yang berlaku daripada perspektif sendiri dan menyampaikan apa yang dilihat mengikut gaya bahasa sendiri.

“Namun tidak dinafikan ada kanak-kanak yang cepat matang dan pandai berbohong pada usia ini. Mereka mungkin berbohong atau menyembunyikan sesuatu disebabkan rasa takut. Hal ini kerap berlaku kesan pengaruh didikan ibu bapa itu sendiri. Mereka terlalu mudah menghukum atau cepat melenting dengan kesilapan anak. Ada juga yang sengaja mendera psikologi anak dengan menakut-nakutkan atau mengugut,” katanya.

Menurut Dr Rozieta, penting untuk ibu bapa bersikap terbuka dan selalu mendekati si kecil dengan rasa kasih sayang, timbang rasa, prihatin serta cuba memahami situasi si kecil setiap kali dia melakukan kesilapan.

“Kadang-kadang, boleh jadi anak yang tidak pernah berbohong juga menipu. Mereka memilih untuk berbuat demikian demi mempertahankan diri daripada dihukum atau dimarahi. Jadi, kalau ini yang berlaku, usah cepat melatah. Terangkan kepada anak mengapa dia tidak boleh berbohong. Jelaskan sekali mengenai implikasi berbohong.

“Dalam mendidik anak, ada masanya ibu bapa juga tidak terlepas daripada berbohong. Mungkin niat kita baik, namun ia perlu dijelaskan kepada anak supaya mereka tidak keliru. Beri contoh supaya anak dapat memahami situasi dan implikasi atas setiap tingkah laku mereka pada masa depan. Melalui cara itu, mereka mungkin terlepas daripada kekeliruan dan lebih bertanggungjawab,” katanya.

PUNCA LAZIM ANAK BERBOHONG

Tidak kira sama ada anak kecil, sudah bersekolah atau remaja, masing-masing berpotensi menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan ibu bapa sekiranya mereka didik dengan sikap garang dan hukuman melampau.

“Anak kecil biasanya tidak tahu apa itu berbohong dan tidak mampu membezakan sama ada bohong atau tidak kerana menilai apa yang dilihat menurut perspektif mereka. Di sekolah, mungkin ada kawan yang meminjam pensel mereka. Tetapi kematangan fikiran anak membuatkan dia rasa kawannya mengambil pensil mereka.

“Jadi, sebagai ibu bapa, kita perlu tanya mereka sendiri. Hendak bertanyakan dengan anak juga ada banyak cara dan bunganya. Usah cepat melenting, sebaliknya beri ruang anak menjelaskan situasi yang berlaku.

“Pada usia antara tujuh hingga sembilan tahun, anak biasanya semakin matang untuk menilai. Jadi, apabila usianya mencecah 10 tahun, kita percaya anak tidak lagi terkeliru. Mereka seharusnya sudah faham apa implikasi jika bercakap bohong dan boleh dihukum.

“Sentiasa ada di sisi mereka untuk menjelaskan perbezaan antara perkara imaginasi dan hal nyata. Jangan mudah marah selagi anak tidak tahu hendak membezakan perkara betul dan bohong. Beri input secara perlahan-lahan dengan berkongsi kisah Rasulullah SAW dan nasihat,” katanya.

Kata Dr Rozieta, anak memerlukan sokongan untuk sentiasa jujur dalam perlakuan dan bercakap benar. Ini penting terutama bagi mereka yang kerap dimarahi atau dihukum sebelum ini.

“Katakan kepada anak, jika dia mengaku kesalahannya, hukuman yang diterima lebih ringan berbanding terus berbohong. Ibu bapa perlu ada toleransi dalam menghukum. Sentiasa tekankan hukuman lebih ringan jika anak yang berbohong dapat berlaku jujur.

“Lihat kembali diri kita sebagai ibu bapa. Usah sesekali lupa anak adalah cermin diri ibu bapa. Lihat bagaimana kita mudah menuduh orang lain jika berlakunya perkara yang tidak elok. Kita gagal melihat diri sendiri. Sedangkan anak sentiasa memerhati.

“Ketika anak mencapai usia tujuh tahun, mereka sudah mumaiyiz (sudah dapat membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk). Pemikiran mereka juga semakin berkembang dan memahami. Waktu inilah kita perlu mula mengajar anak mengenai solat, beri didikan agama sewajarnya, menjelaskan setiap tindakan dan tanggungjawab mereka. Elakkan menakut-nakutkan anak atau menghukum.

“Ajar anak melakukan perkara baik. Jelaskan kepada mereka setiap perbuatan, percakapan dan tindakan dilihat serta didengar Allah SWT. Ajar mereka nilai yang baik supaya Allah SWT sayang. Dalam masa sama, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik buat anak,” katanya.

NORMALKAH ANAK BERBOHONG?

Pasti ramai ibu tertanya-tanya mengenai persoalan sama. Kata Dr Rozieta, jika dalam keluarga itu menganggap berbohong sebagai perkara normal maka ia jadi normal buat anak.

“Anak adalah refleksi, cermin kepada ibu bapa. Kadangkala ibu bapa tidak perasan mereka turut berbohong mengenai perkara remeh. Jadi, kalau tidak mahu anak berbohong, lihat kembali diri kita. Ini kerana, anak yang dididik tanpa ‘fungsi’ bohong tidak akan berbohong.

“Kita kena faham yang anak ini tidak suka berbohong. Malah, dia tidak tahu pun. Sebab itu, andai ibu bapa nampak ada orang berbohong dengan anak, jelaskan semula kepada si kecil supaya mereka tidak keliru.

“Satu lagi adalah mendidik cara garang. Bila ibu bapa terlalu garang, ia bermakna mereka memaksa anak untuk cepat matang. Mereka mahu anak faham perkara yang belum dapat difahami sebelum waktunya. Ini boleh menyebabkan anak berubah laku. Bayangkan kalau anak terus-menerus dimarah dan dihukum, tanpa dibantu untuk membangunkan kualiti yang ada dalam diri mereka. Pasti ia meninggalkan kesan negatif kepada psikologi anak.

“Berbeza dengan tegas. Tegas ini penting. Ia perlu dalam mendidik anak. Bertegas dengan anak memerlukan ibu bapa untuk mendengar dengan penuh kasih sayang dan kefahaman. Jika didikan sebegini ditanam dalam diri anak, dia pasti membesar menjadi seorang yang rasional dalam membuat keputusan,” katanya.

Jelas Dr Rozieta, umum tahu didikan dan pengaruh baik keluarga memainkan peranan besar dalam menentukan kemenjadian seorang anak. Sejak kecil, anak menyerap pengaruh ahli keluarga terdekat, khususnya ibu bapa. Kemudian, dia akan berdepan pengaruh guru dan rakan.

“Cuba kita lihat, anak yang dididik dengan baik biasanya akan kembali kepada ibu bapa untuk bertanyakan pendapat atau pandangan. Sebab itu komunikasi dalam membina pertalian itu cukup penting. Kita mahu anak sentiasa hormat kepada ibu bapa.

“Walaupun mereka berdepan pengaruh rakan sebaya apabila remaja dan dewasa nanti, pertalian rapat dan didikan baik takkan mudah tergugat. Jauh mana sekalipun anak pergi, dia pasti akan kembali semua kepada ibu bapa untuk membuat keputusan. Inilah kuasa kepimpinan ibu bapa.

“Soal anak berbohong atau tidak apabila dewasa, itu terserah kepada bagaimana ibu bapa menangani hal seumpamanya ketika mereka kecil. Hari ini, banyak kelas yang boleh membantu ibu bapa meningkatkan kemahiran keibubapaan. Sama ada kita percaya atau tidak, ilmu keibubapaan ini perlu dipelajari, diteroka dan dipraktikkan dalam mendidik anak pada zaman serba mencabar kini.

“Ilmu itu luas. Saya sendiri tidak pernah berhenti mencari ilmu walaupun anak sudah besar. Kemahiran keibubapaan ini saya andaikan sebagai ilmu kejuruteraan manusia untuk seni bina masyarakat. Ibu bapa adalah jurutera anak. Mereka adalah jurubina keluarga,” katanya.

TIP KEIBUBAPAAN

1. Apabila anak didapati berbohong, bincangkan isu. Beritahu mereka untuk berhenti berbohong dan tekankan hukuman lebih ringan sekiranya mereka mengakui kesilapan.

2. Ajar anak mengenai pembentukan akidah. Ingatkan mereka bahawa Allah SWT sentiasa melihat dan mendengar. Bawakan kisah nabi dan Rasulullah SAW sebagai pengajaran.

3. Jaga diri. Ingat, kalau ibu bapa berbohong dan anak nampak, kita harus mengakui kesilapan di depan mereka. Berlaku adil dengan anak dan terima hukuman sebagaimana dipersetujui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 10:59 AM