MULAKAN hari dengan smoothie buah-buahan. FOTO hiasan
MULAKAN hari dengan smoothie buah-buahan. FOTO hiasan
Siti Zarinah Sahib

MAKAN terlalu banyak dengan pelbagai jenis hidangan ada kalanya menyebabkan perut menjadi sebu atau kembung. Kebiasaannya selepas makan ada sesetengah individu mengalami gejala seperti tidak selesa, mengantuk atau tidak bermaya untuk menyambung kerja.

Makan tidak menentu waktu juga bukan saja boleh menyebabkan ketidakselesaan, malah akan memberi beban kepada sistem pencernaan. Contohnya makan pada waktu malam dua atau tiga jam sebelum tidur. Tabiat ini membuatkan sistem penghadaman terpaksa bekerja lebih keras untuk mencerna makanan.

Walaupun sarapan itu adalah sajian paling penting untuk memulakan hari, tetapi pengambilan berlebihan juga tidak bagus. Kita akan berasa cepat mengantuk dan malas jika makan banyak hingga terlalu kenyang.

Menurut Pengarah Kanan, Pendidikan dan Latihan Nutrisi Sedunia Herbalife Nutrition, Susan Bowerman, antara cara untuk mengatasi rasa lesu dan malas selepas menikmati hidangan adalah dengan menentukan jenis makanan anda.

Sambil menegaskan kepentingan sarapan untuk membekalkan tenaga yang diperlukan, dia turut memberitahu cara terbaik yang boleh diambil supaya kita berasa selesa dan cergas sepanjang hari.

“Pilihan sarapan itu amat penting kerana ia boleh mempengaruhi prestasi kita. Sarapan berat tidak digalakkan sebaliknya tukar dengan hidangan yang lebih menyihatkan dan bertenaga. Ini kerana makanan berat menyebabkan individu cepat mengantuk,” katanya.

Bagi menjadikan perut lebih selesa manakala badan lebih cergas terdapat beberapa panduan yang boleh diikuti antaranya:

1. Nikmati ‘smoothie’ sihat

Mula bersarapan dengan smoothie sihat mengandungi sayur-sayuran segar seperti bayam atau kubis, sedikit buah-buahan seperti mangga, oren atau nanas. Halia juga sangat baik untuk kesihatan. Sama ada diambil segar atau dalam bentuk serbuk, ia mampu mengurangkan angin dalam badan, sekali gus memberikan keselesaan kepada sistem penghadaman. Bagi yang biasa boleh mencampurkan sedikit tepung protein dalam air kelapa bagi memberikan rasa kenyang lebih lama.

Pengambilan makanan ringan seperti smoothie yang mengandungi ba­nyak serat ketika sarapan memberikan rasa kenyang dan membantu individu menjadi lebih bertenaga.

Halia pula mampu melancarkan sistem pencernaan manakala buah-buahan, sayur-sayuran dan air kelapa mengandungi cecair yang dapat menghidratkan tubuh. Di samping itu, protein yang diambil juga dapat mengelak rasa lapar sehingga waktu makan seterusnya.

2. Ambil inisiatif untuk berjalan

Selepas bersarapan lakukan aktiviti berjalan selama 30 hingga 45 minit. Aktiviti fizikal merangsang otot-otot halus dalam saluran pencernaan, sekali gus membantu sistem badan beroperasi dengan lancar dan teratur. Tubuh anda menjadi lebih baik kerana berlaku pembakaran kalori berlebihan yang diambil pada hari sebelumnya.

Jika tidak sempat bersenam selepas sarapan di rumah, apa kata anda lakukannya sebaik tiba di pejabat, contohnya dengan naik turun tangga di pejabat beberapa kali.

3. Nikmati minuman rendah kalori yang berkafein

Hirup minuman berkafein yang sihat dan rendah kalori pada pertengahan waktu pagi, contohnya secawan teh atau kopi. Selain itu, kopi atau ais latte daripada susu tanpa lemak juga baik untuk kesegaran tubuh.

Pengambilan kafein dalam kuantiti kecil boleh menghilangkan rasa lesu dan membuatkan anda lebih bertenaga. Namun pastikan pilihan minuman ini rendah kalori. Elakkan juga minuman yang mengandungi banyak gula (termasuk susu pekat manis) kerana ia hanya akan menambah kalori yang tidak diperlukan badan anda. Dek kesuntukan masa, ramai juga mengambil jalan mudah dengan menikmati minuman 3-dalam-1. Ia juga perlu dikurangkan kerana lazimnya minuman pracampuran ini mengandungi banyak gula.

4. Banyakkan sayur dan buah dalam hidangan

Tetapkan matlamat untuk mengambil buah-buahan atau sayur-sayuran dalam setiap hidangan. Ini adalah panduan yang paling bermanfaat yang boleh diamalkan setiap hari. Namun lebih baik sekiranya ia diambil selepas anda terlebih makan pada hari sebelumnya.

Buah dan sayur bukan sahaja mempunyai komposisi kalori rendah, ia juga kaya kalium (potasium) dan air. Bendalir dan kalium membantu sistem badan menyingkirkan natrium (sodium) lebihan bagi membantu mengurangkan rasa kembung. Jadi anda akan berasa lebih sihat sekiranya melengkapi hari anda dengan lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran. Anda akan menikmati manfaat lebih baik jika dapat mempelbagaikan warna buah dan sayur yang diambil setiap hari.

5. Makan ikan

Nikmati hidangan berasaskan ikan seperti tuna dengan salad untuk makan tengah hari atau salmon panggang untuk makan malam. Ikan kaya vitamin B kompleks dan nutrien ini diperlukan bagi menukar makanan kepada tenaga.

Selepas menjamah hidangan berat, badan memerlukan vitamin B dalam kuantiti yang banyak. Sekiranya anda terlebih makan, keperluan badan terhadap vitamin menjadi lebih tinggi. Sistem badan anda tidak menyimpan vitamin ini secara semula jadi, maka pembekalan semula vitamin ini adalah sangat mustahak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 11:58 AM