PERUT kucing hanya sesuai untuk bahan makanan berasaskan daging.
PERUT kucing hanya sesuai untuk bahan makanan berasaskan daging.
HM Digital

Sesetengah pemilik kucing cenderung memberi haiwan peliharaan itu makan nasi, tetapi tahukah anda nasi bukanlah makanan paling sesuai untuk kucing?

Biasanya nasi yang diberikan kepada kucing digaulkan dengan ikan dan kucing makan nasi kerana adanya isi ikan ataupun ayam di dalamnya.

Hakikatnya, kata Pakar Bedah Veterinar Dr Nurzaty Hamid, 29, nasi bukan makanan terbaik untuk kucing.

“Sistem pencernaan kucing, sukar menghadam nasi, jika terlalu banyak makan nasi, dibimbangi mengalami masalah kesihatan terutama membabitkan buah pinggang,” ujar beliau yang bertugas sebagai doktor bedah di Klinik Haiwan & Surgeri Kitty’s Cottage, Cawangan Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Nasihat Dr Nurzaty kepada pemilik kucing ialah jangan memberikan nasi semata-mata kepada kucing.

“Jika dicampur isi ikan atau ayam, sekurang-kurangnya kucing dapat memilih dan mengutip bahan protein itu untuk dimakan,” ujarnya sambil menambah, makanan semula jadi untuk haiwan itu adalah bahan berprotein.

Jika ikan dihancurkan terlalu halus dan digaul dalam nasi, kucing akan makan ikan itu bersama nasi yang banyak. Berbeza dengan sistem pencernaan manusia yang boleh menghadam nasi dengan mudah, kucing tidak mempunyai kelebihan itu.

“Ini kerana perut kucing hanya sesuai untuk bahan makanan berasaskan daging,” ujarnya.

Difahamkan kucing secara semula jadinya adalah haiwan pemakan daging dan sistem pencernaan kucing direka sebagai karnivor, berbeza dengan anjing yang omnivor.

Pencernaannya memerlukan beberapa protein dan asid amino yang tidak boleh didapati daripada bahan selain ayam mahupun ikan.

Makanan sesuai untuknya adalah ikan dan ayam rebus selain makanan dijual siap yang direka khas untuk keperluan kucing.

“Jika kucing biasa makan nasi, boleh diberi dalam kuantiti sederhana dan dalam jangka masa pendek, maksudnya tidak diberi berterusan. Sebaiknya, digantikan nasi putih dengan nasi beras perang, kerana perut kucing lebih mudah mencernanya. Bahkan kebanyakan makanan kucing diformulasi mengguna beras perang dan bukan beras biasa,” jelasnya.

Pesannya lagi, jika beri makanan beli siap, elak memilih jenis komersial yang berwarna-warni, bagi menghindari penyakit batu karang atau buah pinggang dan juga tidak menukar jenis atau jenama sesuka hati.

“Amalan gemar menukar jenis dan jenama makanan, dibimbangi ada yang tidak sesuai dan boleh menyebabkan sakit perut,” tegasnya.

Agar kucing kekal sihat katanya, boleh beri multi vitamin, jika diletak dalam bilik berhawa dingin, sediakan kotak supaya ia boleh menyorok dan memanaskan badan. Jika diletak dalam bilik yang hanya ada kipas, pastikan sistem pengudaraan bagus.

MANDIKAN SEKALI-SEKALA

Berkelulusan dalam bidang veterinar dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Dr Nurzaty selaku Pakar Bedah dan Pengurus Klinik Haiwan itu berkata, beliau mengikuti pengajian peringkat Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan di UPM kampus Bintulu, Sarawak sebelum melanjutkan ke peringkat Ijazah Veterinar di UPM, Serdang, Selangor.

“Sebelum itu, saya memang bercita-cita menjadi doktor haiwan dan kebetulan sangat sukakan kucing. Sejak dulu, saya bercita-cita membuka klinik haiwan khusus untuk kucing. Kebanyakan klinik haiwan yang ada, memberi rawatan ‘bercampur dengan haiwan lain’.

“Dengan adanya klinik khas untuk kucing, lebih selesa bagi pelanggan yang hanya meminati haiwan itu untuk keluar masuk di klinik ini,” ujarnya yang bagaimanapun berkata, ada juga haiwan kecil lain seperti arnab, sugar glider dan hamster dihantar kepadanya untuk dirawat tetapi tidak anjing.

Sebaik tamat pengajian ijazah, Dr Nurzaty bekerja di Klinik Haiwan & Surgeri Kitty’s Cottage di Shah Alam selama dua tahun dan di situ beliau menimba ilmu dan kemahiran untuk mengurus dan merawat kucing, sebelum membuka cawangan di Desa Pandan.

Mengenai amalan memandikan kucing, beliau berkata, kucing juga tidak boleh dimandikan terlalu kerap, hanya boleh sekali-sekala seperti sebulan sekali.

Mengenai risiko kucing terhadap ibu mengandung yang sering diperkatakan menurutnya, memang betul, kucing berpenyakit Toksoplasma boleh menjangkiti ibu mengandung yang boleh membawa kepada keguguran.

“Jadi bagi pemilik kucing, dinasihat amalkan bersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman setiap kali selepas pegang kucing,” ujarnya.

Bagi memastikan kucing selamat daripada penyakit tertentu, digalak mendapatkan suntikan rangkaian vaksin khas untuk haiwan itu.

Beliau juga menggalakkan kucing jantan dan betina dimandulkan untuk mengawal karakter haiwan itu, yang menjadi agresif ketika hendak mengawan.

Bersuamikan seorang jurutera, menurutnya lagi, sokongan keluarga dan teman rapat menjadi pendorong utama kariernya.

Selain menyediakan rawatan biasa, surgeri dan penataan, tempat itu juga menjual makanan kucing dan peralatan berkaitan di samping menyediakan khidmat hotel kucing. Beroperasi di bangunan dua tingkat, kedai haiwan dan hotel kucing berada di tingkat atas sementara wad kucing dan bilik rawatan di tingkat bawah. -Rashidah Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 2:21 PM