HM Digital

Buah delima memiliki pelbagai khasiat untuk membantu menjaga kesihatan badan dengan manfaatnya yang tersendiri. Ia mengandungi zat besi, kalsium, vitamin A dan C. Sejak zaman dahulu ahli perubatan Yunani menggunakan buah delima sebagai ubat cacing.

Alkaloid yang terdapat pada kulit delima membuat cacing melekat pada dinding usus manusia dan melepaskan pegangannya. Dalam perubatan Cina pula, biji delima putih dikatakan mempunyai khasiat sebagai antiradang.

Buasir adalah satu lagi penyakit yang boleh dirawat menggunakan air buah delima yang bertindak sebagai astrigen. Airnya disapu ke bahagian yang bengkak dan perlu dilakukan beberapa kali sehingga sembuh.

Selain itu, ada kajian yang menunjukkan kandungan antioksidan dalam buah delima adalah dua atau tiga kali lebih tinggi berbanding anggur merah.

Malah, kualiti antioksidannya juga dikatakan lebih baik berbanding buah beri biru, kranberi dan oren kerana polifenol dalam buah delima juga lebih tinggi.

Antioksidan berfungsi melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel dalam badan kita. Kerosakan sel akan menyebabkan pelbagai penyakit termasuk kanser dan penyakit jantung.

Buah delima juga dikatakan dapat membantu menurunkan kadar kolesterol dalam darah. Menurut penelitian yang disiarkan dalam American Journal of Clinical Nutrition, antioksidan dalam buah delima dapat mengurangkan oksidasi LDL (kolesterol buruk) pada tikus.

Khasiatnya sudah pun diketahui ramai, namun bukan semua orang gemar menikmati rasa masam dan manis buah delima. Alasannya, ia mengandungi biji kecil di dalamnya, sukar dimakan dan agak leceh untuk memisahkan setiap satu isinya daripada kulit selain dijual agak mahal.

Bagi anda yang tidak suka menikmati buah delima secara langsung, boleh saja jadikannya sebagai susu kocak agar lebih enak dan berkhasiat dengan campuran susu segar.

Bahannya juga mudah didapati dan penyediaannya yang ringkas menjadikannya sesuai dinikmati ketika sarapan. Selamat mencuba!

BAHAN:

• 1 cawan susu segar

• 1 biji buah delima

• Sedikit gula (jika mahu)

1. SEDIAKAN buah delima yang siap diasingkan daripada kulit dan susu segar.
1. SEDIAKAN buah delima yang siap diasingkan daripada kulit dan susu segar.

2. KISAR semua bahan hingga sebati.
2. KISAR semua bahan hingga sebati.

3. TUANG ke dalam gelas dan sedia untuk dinikmati.
3. TUANG ke dalam gelas dan sedia untuk dinikmati.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 3:06 PM