SITI Noor Anisah menyiapkan tempahan buaian berendoi.
SITI Noor Anisah menyiapkan tempahan buaian berendoi.
PELAMIN berendoi rekaan Siti Noor Anisah.
PELAMIN berendoi rekaan Siti Noor Anisah.
PELAMIN berendoi rekaan Siti Noor Anisah.
PELAMIN berendoi rekaan Siti Noor Anisah.
Siti Nadirah Hafidzin


Buaian berendoi yang dihias cantik dengan dekorasi dan warna menarik pada majlis cukur jambul, akikah atau kesyukuran sempena kelahiran cahaya mata baru kini semakin menjadi trend ibu bapa bagi mencipta saat indah buat si kecil.

Hiasan yang dihasilkan itu juga kelihatan sama cantik seperti pelamin majlis perkahwinan. Ini kerana dekorasi, konsep dan warna yang digunakan bagi menghias pelamin buaian berendoi mampu menarik perhatian siapa saja.

Memilih untuk menjalankan perniagaan menyediakan perkhidmatan pelamin dan buaian berendoi bayi memandangkan bidang itu turut berkaitan dengan minatnya, Siti Noor Anisah Abdul Jalil berkata, dia menjual selendang jenama sendiri terlebih dulu sejak 2008.

“Disebabkan mempunyai bakat menjahit, saya memilih pelbagai cabang perniagaan yang mempunyai kaitan dengan jahitan supaya saya sendiri dapat melakukannya tanpa perlu mengupah orang lain.

“Untuk mempelbagaikan cabang perniagaan, saya turut membuat bengkung untuk ibu selepas bersalin selain produk bayi seperti barut dan set tilam,” katanya.

Siti Noor Anisah bukannya tidak fokus pada sesuatu jenis perniagaan namun minat membuatkan dirinya mempelbagaikan cabang perniagaan.

“Walaupun saya menjalankan pelbagai perniagaan, semua perniagaan itu dijalankan hasil usaha dan kreativiti saya sendiri. Saya rasa tidak salah sekiranya menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

“Apa yang penting, saya fokus dan bersungguh-sungguh dalam menyediakan semua tempahan pelanggan serta memuaskan hati mereka,”ujarnya.

PELAMIN DAN BUAIAN BERENDOI BAYI

Pastinya dia mempunyai fokus perniagaan yang diutamakan bagi memastikan ia dapat berkembang maju mengikut impiannya.

Menurut Siti Noor Anisah, sejak mula menjahit dia sentiasa berusaha mempelbagaikan bahan jahitannya bagi memudahkan dirinya pada masa akan datang.

“Syukur, pilihan saya menjalankan perniagaan pelamin dan buaian berendoi bayi ini adalah tepat kerana sehingga kini sambutan yang diterima di Selangor dan Perak amat menggalakkan.

“Harga bagi perkhidmatan yang saya tawarkan amat berpatutan iaitu sekitar RM250 hingga RM450 saja bergantung kepada rekaan dikehendaki pelanggan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak memikirkan soal keuntungan semata-mata namun lebih memberi fokus kepada soal hasil kerja dan kepuasan pelanggan.

“Saya mahu kekal lama dalam perniagaan ini dan disebabkan itu saya tidak mahu menekankan soal keuntungan semata-mata.

“Harga yang saya tawarkan amat berpatutan dan tidak membebankan pelanggan yang mahukan majlis kesyukuran untuk bayi dihias cantik,” ujarnya.

Siti Noor Anisah berkata, perbincangan rapi diadakan antara dengan pelanggan termasuklah berkaitan tema dekorasi dan harga.

“Kepuasan saya apabila melihat pelanggan gembira dan berpuas hati dengan hasil yang saya berikan kerana ia ternyata tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

”Disebabkan itu, saya sentiasa berusaha menghasilkan rekaan dan gubahan dekorasi pelamin dan buaian berendoi yang terbaik demi untuk pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 11:46 AM