GERAK tarian rancak yang menarik oleh instruktor berpengalaman.
GERAK tarian rancak yang menarik oleh instruktor berpengalaman.
PESERTA bersemangat mengikut rentak instruktor tarian.
PESERTA bersemangat mengikut rentak instruktor tarian.
AKSI lincah instruktor.
AKSI lincah instruktor.
SITI Hadzrah (kiri) dan Azlena giat mempromosikan kecergasan melalui tarian.
SITI Hadzrah (kiri) dan Azlena giat mempromosikan kecergasan melalui tarian.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Selain rutin senaman, menari antara aktiviti menarik yang mampu meningkatkan kesihatan dan kesegaran tubuh. Selain itu, tarian dengan kombinasi unik daripada latihan fizikal, interaksi sosial dan tumpuan dapat membantu menghilangkan tekanan, menambah tenaga dan stamina serta meningkatkan kekuatan otot tubuh.

Tidak hairan tarian moden seperti zumba, hip hop dan zafina semakin diminati ramai tidak kira usia dan latar belakang hingga rutin tarian itu dijadikan kaedah menyeronokkan untuk meningkatkan kesihatan.

Menyedari kesedaran mengenai gaya hidup sihat melalui tarian semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, studio tarian Funky Fresh Studio dengan kerjasama Studio Fitspace 66 menganjurkan program tarian Funky Fit Fever 2017 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program berbentuk tarian kecergasan itu menawarkan koreografi gerak tarian yang mudah diikuti serta diiringi pelbagai genre muzik yang menyeronokkan.

Hari ini, senaman bukan lagi aktiviti bosan yang dilakukan untuk penjagaan kesihatan semata-mata. Senaman kini mempunyai pelbagai fungsi seperti mengubah mood, meningkatkan keyakinan dan harga diri, mengubati trauma serta menjalinkan hubungan silaturahim sesama mereka yang aktif melakukan tarian kecergasan.

Program menggabungkan pelbagai tarian kecergasan itu menarik minat lebih 500 peserta pelbagai peringkat umur dan menariknya, ia turut disertai masyarakat berbilang bangsa.

Pengarah Urusan Funky Fresh Studio Siti Hadzrah Abd Rahim dan Pengasas Studio Fitspace 66, Azlena Maria Abu Bakar berkata, aktiviti tarian kecergasan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, oleh itu program berkenaan diadakan khusus untuk mempromosi kesihatan dan kecergasan melalui tarian.

Tarian bukan saja dapat menjadikan regim senaman yang menarik malah memupuk budaya hidup sihat di saat negara berdepan kadar rakyat mengalami obesiti yang semakin meningkat setiap tahun.

“Ditambah dengan iringan muzik rancak, tarian dapat dilakukan dengan lebih menyeronokkan dan secara tidak langsung menjadikan regim senaman tidak lagi membosankan.

“Kami bersyukur kerana acara yang kali kedua dianjurkan ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai, termasuk lelaki yang mahu menjalani kehidupan lebih sihat,” katanya.

Menurut Siti Hadzrah, program itu turut mendapat sokongan beberapa studio tarian dan membabitkan ramai jurulatih tarian kecergasan di sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, seorang peserta program, Nadia Yahya, 37, berkata, program itu menarik minatnya kerana selain dapat bersenam dengan cara yang lebih menghiburkan, dia dapat menambah kenalan baru yang berkongsi minat sama.

“Tambahan pula, dengan kehidupan di ibu kota yang sibuk, penyertaan program ini dapat membantu mengurangkan tekanan di samping meningkatkan kecergasan saya.

“Saya sendiri mengikuti latihan kecergasan zumba dan menjadi ahli kelab kecergasan kerana menyedari pentingnya mengekalkan kesihatan melalui aktiviti ini lebih-lebih lagi selepas menginjak usia 30-an,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia turut menekankan kepentingan menjalani gaya hidup sihat kepada dua anaknya sejak kecil.

Bagi peserta, Firdaus Rozlan, 22, pula begitu teruja menyertai program tarian kecergasan berskala besar pertama kali disertainya.

Ditambah dengan minatnya dalam tarian, program itu amat sesuai bagi generasi muda sepertinya berbanding mengunjungi kelab malam yang pastinya membawa banyak unsur negatif seperti penyalahgunaan dadah dan arak.

“Tarian memang sebati dengan jiwa saya, apatah lagi saya kini menuntut dalam jurusan Seni Persembahan di universiti. Jadi tiada masalah untuk saya bergiat aktif dalam program seumpama ini,” katanya.

Bagi peserta, Eevonne Koh, 29, semakin meningkat usia dia menyedari keperluan untuk kekal cergas terutama kesibukan tugas yang menuntutnya bekerja hingga lewat malam.

Katanya, program itu amat menarik minat kerana suasananya yang begitu meriah berbanding melakukan aktiviti kecergasan seorang diri.

“Dulu jika ada kelapangan memang saya cuba mencari masa ke gim dan program kecergasan lain namun kesibukan tugas betul-betul membataskan aktiviti saya.

“Jadi saya amat berharap program yang menyeronokkan seumpama ini dapat dilaksanakan dengan lebih kerap, tidaklah terasa bosan apabila bersenam,” katanya yang hadir bersama beberapa rakan sekerja.

Bagi Mohd Firdaus Mohd Razali, 29, rutin tarian secara berkumpulan satu platform terbaik untuk peserta mengeratkan silaturahim sambil bersenam dan menambah kenalan baru.

Selain itu katanya, pembabitan pelbagai kaum juga dapat memupuk perpaduan kerana semua peserta dalam program itu tanpa mengira bangsa dapat bergaul dan bermesra.

“Pertama kali sertai program ini, saya dapat lihat sambutan luar biasa oleh peserta sekaligus menunjukkan semakin ramai yang mengambil berat mengenai kesihatan mereka, justeru, saya berharap program seumpama ini dapat dilaksanakan secara berkala di serata tempat.

“Sebelum ini pula, saya memang ingatkan tarian zumba hanya untuk perempuan saja, tapi apabila saya cuba lakukan gerak langkah tarian ini tidak sangka pula ia sebenarnya amat menarik.

“Walaupun tidaklah dapat ikut seratus peratus gerakan instruktor, tapi sedikit sebanyak dapat mengeluarkan peluh dan berseronok bersama rakan lain, itu sudah mencukupi,” katanya.

Jurulatih kecergasan salsation, Aiza Soad pula berpendapat, ramai mengetahui latihan senaman konvensional amat membosankan, justeru melakukan latihan yang sama setiap hari dapat menurunkan tahap kecergasan seseorang.

“Di sinilah salsation sangat berguna dan jauh berbeza daripada latihan konvensional serta sangat menyeronokkan, mudah dan menarik sehingga anda dapat menikmatinya selama berjam-jam.

“Selain itu, ketika melakukan gerakan salsation, tubuh akan banyak mengeluarkan kalori daripada proses pembakaran lemak sehingga menyebabkan penurunan berat badan lebih cepat.

“Semakin ramai yang menjadikan tarian kecergasan sebagai rutin menurunkan berat badan yang secara tidak langsung membebaskan mereka daripada penyakit berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 3:15 PM