DARAWISAH bersama anak, Tini dan Wani.
DARAWISAH bersama anak, Tini dan Wani.
BEKAS pelajar yang teruja bertemu guru berjasa.
BEKAS pelajar yang teruja bertemu guru berjasa.
Kusyi Hirdan


Sepanjang hidup kita bergelar pelajar dari zaman sekolah rendah, menengah kemudian ke peringkat yang lebih tinggi, kita bertemu begitu ramai guru. Sebutlah nama apa pun. Profesor, pensyarah, mentor, madam, sir dan pelbagai lagi gelaran mengikut institusi, mereka tetap guru yang memberi ilmu berguna kepada kita.

Seperti orang lain, penulis juga teringin berjumpa guru yang banyak mencurahkan ilmu. Apabila membaca mengenai majlis perjumpaan semula bekas pelajar sekolah tertentu yang menjemput guru sebagai tetamu kehormat, keinginan bertambah kuat. Bagus sekali usaha sebegini.

Teringat pada seorang guru ketika di tingkatan empat dan lima. Dia mengajar mata pelajaran Sastera merangkap guru disiplin sekolah. Setiap kali kami (bekas pelajar) berjumpa, pasti nama guru ini disebut dan dikenang. Apa yang membuatkan dia sangat melekat di hati kami ialah kerana kegarangannya.

Garang dan tegasnya menjadikan kami sentiasa mengikut peraturan, tidak berani melanggar peraturan sekolah. Dia membentuk kami di dalam acuan disiplin yang tinggi. Cikgu Darawisah Sayuti, mungkin hanya ada satu dalam seribu.

Merancang pertemuan dengan guru ini, penulis bagaikan tidak sabar kerana 30 tahun sudah berlalu. Dia sudi bertemu walaupun masih keletihan kerana baru selesai mengadakan majlis perkahwinan anak bongsunya, Nadia.

Dia menyuruh penulis mengirim gambar supaya senang mencari. Wajah guru garang ini tidak mungkin dilupai. Pelajar pasti lebih mudah mengingati wajah guru berbanding sebaliknya kerana seorang guru mempunyai beribu-ribu pelajar. Penulislah yang akan mencarinya.

Kami bertemu dan terus saling berpelukan. Dia tersenyum manis. Pada usia 64 tahun, penulis melihatnya dari sudut yang berbeza. Dahulu melihatnya sebagai wanita yang tinggi, langsing, serius dan garang. Suaranya garau.

Hari ini, dia masih kurus, langsing dan tinggi cuma penulis merasakan dia lebih kecil. Suaranya juga biasa sahaja. Keseriusan dan kegarangannya bagaikan tidak pernah wujud kecuali sifat keibuan yang menyerlah.

Itulah pandangan mata manusia, dahulu daripada pelajar sekolah yang semuanya perempuan berusia 16 dan 17 tahun. Kini daripada kaca mata seorang yang berusia sudah hampir 50 tahun.

Dia sebenarnya sukar mengingati penulis. Maklumlah muridnya begitu ramai. Namun nalurinya masih dapat mengingati beberapa pelajar yang sebaya.

Walaupun hanya sekitar tiga hingga empat tahun dia mengajar di sekolah penulis iaitu Sekolah Menengah Raja Perempuan Kelsom (SMRPK), Kuala Kangsar, bagi Darawisah, ia meninggalkan kenangan yang bermakna. Dia tergelak apabila penulis mengingatkan betapa takutnya kami kepadanya.

Seorang rakan penulis, Azurawani bercerita, mendengar bunyi kasut cikgu saja dia sudah kecut perut. Takutnya bukan kepalang. Kini dapat bertemu kembali, dia berasakan guru itu begitu manis di matanya.

“Kini saya nampak cikgu cukup lembut, peramah dan tenang. Dia dahulu tegas dan garang sebab tugasnya nak menjadikan kami cemerlang dalam pelajaran. Saya amat berterima kasih pada cikgu kerana garangnya itulah saya berjaya dalam subjek Bahasa Malaysia ketika SPM dahulu.”

Marina Yaacob pula berkongsi pengalaman bagaimana dia takut dan menjaga disiplinnya setiap kali kelas cikgu Darawisah.

“Pada hari yang ada mata pelajaran Sastera, saya pastikan semua kerja siap dan buku tersimpan rapi. Fikir balik, bukan kerana takut saja, tetapi kami mematuhi peraturan dan disiplinnya. Besarnya jasa cikgu mendidik kami,” katanya.

Ketika mengajar di SMPRK, Cikgu Darwisah masih baru dalam bidang perguruan.

“Saya waktu itu sebenarnya tergolong dalam kategori ibu muda. Sewaktu mengajar di SMRPK, saya baru tujuh tahun menceburi kerjaya perguruan. Masih dalam kategori baru,”katanya.

Dalam serba baru itu, Darawisah diberi tanggungjawab menjadi guru disiplin walaupun pada awalnya dia menolak.

AKUR PADA DISIPLIN

“Saya sendiri sebenarnya tidak mahu diberikan tanggungjawab sebagai guru disiplin tetapi guru besar meyakinkan saya boleh buat. Dia kata saya boleh,” katanya.

Dari detik itu, bermulalah tanggungjawabnya sebagai guru disiplin yang sinonim dengan Darawisah sehingga kini.

“Saya memang sentiasa diingati sebagai guru yang tegas dan garang kerana jawatan guru disiplin itulah. Ada satu cerita lucu ketika di maktab, saya mengajar siswa bermain bola jaring. Ada seorang siswa menggigil dan tidak dapat menjaringkan bola. Saya suruh jaring, dia tak boleh dan terus menggigil. Rupa-rupanya dia bekas pelajar saya ketika belajar di sekolah menengah dahulu.”

Impak ketegasan guru ini memang mendalam sekali.

Darawisah memberitahu dirinya sendiri memang tegas kerana dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan disiplin. Arwah bapanya dahulu sangat tegas orangnya. Disiplin dan sifat tegas tidak asing dalam hidupnya. Baginya, untuk berjaya, pelajar haruslah berdisiplin. Buatlah apa saja, dengan disiplin, kejayaan pasti menjadi milik kita.

“Kerana pembawaan diri yang tegas itulah agaknya saya sering diberi tugasan menjaga disiplin dan hal ehwal belajar. Ia bukan kerja yang mudah kerana perlu pendekatan berbeza antara pelajar sekolah dengan kolej atau universiti. Cabaran setiap satu memang besar. Kerjaya guru itu sendiri juga memberi cabaran yang sangat besar. Bukan senang mendidik anak bangsa. Saya bangga apabila tahu mereka semua sudah berjaya.”

Melihat pada arus kemodenan sekarang, Darawisah mengakui, zaman dahulu dan sekarang sungguh berbeza.

“Dahulu, anak murid takut dan hormat pada guru. Walaupun saya tidak pernah memukul, mereka takut pada disiplin saya. Anak murid zaman sekarang sangat manja dan tak takut guru. Kalau kita marah, nanti ibu bapa pula yang marahkan guru. Semua itu tidak berlaku zaman dahulu.”

Darawisah terharu kerana pelajar masih mengingati dan sudi menziarahinya.

“Pada kenduri kahwin anak saya baru-baru ini sekitar 30 bekas pelajar SMPRK datang meraikan majlis. Ada yang datang dari jauh. Semuanya bermula dengan seorang bekas pelajar, Aminatun Hariah yang tinggal satu taman perumahan dengan saya. Dialah yang menghubungkan saya dengan ramai lagi kawannya.

“Saya gembira sangat apabila mereka datang ke rumah. Gembira bila berjumpa dan melihat mereka semua berjaya. Walaupun saya guru yang garang, tetapi mereka tetap ingat dan datang berjumpa saya.

“Kala kami mengimbas semula fesyen bajunya yang sering menjadi perhatian pelajar ketika itu, dia tergelak. Dek kelangsingan tubuhnya, Darawisah tampil berbeza berbanding guru lain kerana mengenakan baju kurung moden menggunakan teknik gabungan kain berbeza. Cita rasa fesyennya waktu itu memang berani.

“Fesyen orang muda waktu itu. Ada yang saya reka sendiri, ada yang saya tengok daripada buku fesyen dan menempahnya di kedai,” katanya.

Berasal dari Tanjung Malim, Perak, Darawisah melalui perjalanan yang panjang dalam kerjaya perguruannya. Selepas mengajar di beberapa sekolah menengah, dia menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini UPSI). Daripada mengajar remaja, dia mendidik bakal guru pula, Darawisah mendapat dua pengalaman dan cabaran berbeza.

Dia juga berkesempatan berkursus di Nagoya University dan Universiti Pendidikan Aichi di Jepun selama setahun lima bulan. Kemudian menjadi Pegawai Atase Pendidikan di London selama tiga tahun.

Balik ke Malaysia, menyambung kembali kerjaya pensyarah kemudian menjadi Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Sebelum bersara, dia dilantik sebagai Pengarah Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Perhubungan Luar Institut Pendidikan Guru Malaysia, Cyberjaya.

Bersara pada usia 58 tahun, kini ketiga-tiga anaknya, Tini, Wani dan Nadia sudah berumah tangga. Kehidupan Darawisah diserikan dengan kehadiran cucu yang comel.

Kerjaya guru dan dunia pendidikan memberi Darawisah peluang melihat begitu ramai wajah anak Malaysia yang mencari ilmu demi kejayaan masa depan. Sebagai guru, kejayaan mereka sangat bermakna dan membanggakannya.

Meskipun agak lambat tetapi penulis tetap mahu mengucapkan selamat Hari Guru kepada Cikgu Darawisah dan semua guru di Malaysia, sama ada yang masih berkhidmat mahupun sudah bersara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 2:09 PM