OBAID (kiri) ketika hadir pada prosiding mahkamah di Switzerland. FOTO AFP
OBAID (kiri) ketika hadir pada prosiding mahkamah di Switzerland. FOTO AFP
AFP

Geneva: Peguam untuk dua lelaki yang dituduh menggelapkan AS$1.8 bilion (kira-kira RM8.61 bilion) daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mula mengemukakan kes mereka pada Khamis lalu, selepas pendakwa raya Switzerland memohon hukuman penjara yang tinggi.

Ketua eksekutif PetroSaudi, Tarek Obaid, dan Patrick Mahony yang juga pengarah di syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak Arab Saudi itu, sedang dibicarakan di Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland di bandar selatan Bellinzona.

Mereka dituduh terbabit dalam penyelewengan besar-besaran yang didalangi oleh Jho Low, seorang penasihat kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Mengambil kira jumlah yang terbabit berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, pendakwa raya Alice de Chambrier pada Rabu menggelarnya sebagai penipuan abad ini, lapor agensi berita Keystone-ATS.

Dia memohon hukuman penjara 10 tahun untuk Obaid dan hukuman sembilan tahun untuk Mahony.

Pendakwa raya juga meminta penahanan kedua-duanya kerana dianggap berisiko melarikan diri.

Obaid memiliki dua kewarganegaraan iaitu Switzerland - Arab Saudi, manakala Mahony adalah warga Switzerland - United Kingdom.

Peguam Obaid Daniel Zappelli menekankan ketiadaan Najib dan Low, dan berkata, terdapat variasi dalam jumlah yang didakwa 'dicuci' oleh defendan.

Skandal kewangan 1MDB yang berbilion dolar membawa kepada siasatan jenayah di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura.

Didakwa berbilion dolar AS sudah dirompak daripada dana itu oleh sebilangan individu, dan ia digunakan untuk membeli barangan daripada karya seni hingga kapal layar mewah.

Najib pada 2022 dijatuhi hukuman penjara 12 tahun di Malaysia atas kesalahan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB. Pada Februari, hukumannya dikurangkan separuh kepada enam tahun.

Skandal 1MDB turut membawa kepada kejatuhan kerajaan Najib pada 2018.

Semasa perbicaraan Switzerland pada Rabu, pihak pendakwaan meminta supaya aset yang diasingkan oleh Switzerland dirampas dan dikembalikan kepada 1MDB.

Chambrier berkata, Obaid dan Mahony membelanjakan hasil 'rompakan' itu untuk kapal layar yang disewa dan harta benda di London dan Geneva.

Kes itu, yang dibicarakan oleh tiga hakim, bermula pada 2 April dan dijadualkan berlanjutan sehingga akhir bulan ini, walaupun keputusan kes boleh mengambil masa berbulan-bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 11:02 AM