KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Reuters
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Reuters
AFP

Moscow: Angka kematian akibat insiden letupan di stesen minyak di Dagestan, Rusia, meningkat kepada 35 orang.

Kremlin mengeluarkan kenyataan, Presiden Vladimir Putin menzahirkan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa terbabit.

"Presiden Putin mengucapkan takziah dengan setulus hati kepada keluarga dan rakan mangsa tragedi di Dagestan dan mendoakan mangsa yang cedera pulih dengan cepat," katanya.

Kementerian kecemasan berkongsi imej kenderaan hangus dengan pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran dan membersihkan serpihan runtuhan.

Setakat ini, pihak berkuasa tempatan berkata, 35 orang maut dan 64 cedera.

Jawatankuasa penyiasat cawangan serantau mengesahkan, letupan di bandar Makhachkala berlaku di stesen minyak, selepas kebakaran.

Sementara itu, Jawatankuasa Penyiasat Kebangsaan Rusia berkata, kebakaran berlaku dalam bangunan perkhidmatan penyelenggaraan kereta sebelum ia merebak ke bilik bersebelahan yang menyimpan baja mudah terbakar, hingga mengakibatkan letupan.

"Penyiasat membuka kes jenayah ke dalam penyediaan perkhidmatan yang gagal memenuhi keperluan keselamatan," katanya.

Agensi berita kerajaan Tass dan Ria Novosti melaporkan, kebakaran berjaya dipadamkan, memetik kementerian kecemasan.

Ketua Pentadbiran Dagestan, Sergei Melikov mengesahkan, letupan itu berlaku kira-kira 10 malam, Isnin lalu.

Katanya, kerajaan Dagestan mengisytiharkan 15 Ogos sebagai hari berkabung.

"Bendera negeri dikibarkan separuh tiang di seluruh negara dan institusi kebudayaan serta saluran televisyen diarahkan membatalkan acara dan program hiburan," katanya.

Makhachkala, bandar di Laut Kaspia, ibu kota Dagestan, sebuah republik Rusia yang bersempadan dengan Chechnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 10:33 AM