Foto hiasan AFP
Foto hiasan AFP
Bernama-Dpa

London: Hampir separuh daripada spesies haiwan di permukaan Bumi mengalami kemerosotan dalam populasi mereka, menurut satu kajian baharu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Kajian itu, yang diterbitkan pada Selasa, meneliti perubahan kepadatan populasi lebih daripada 70,000 spesies haiwan dari seluruh permukaan dunia dari masa ke masa, menjadikannya penyelidikan paling komprehensif seumpamanya setakat ini.

Para penyelidik dari Queen's University Belfast berkata penemuan itu adalah "amaran drastik" kerana kehilangan biodiversiti global yang disebabkan oleh perindustrian manusia adalah jauh lebih membimbangkan daripada yang difikirkan sebelum ini.

Mereka mendapati bahawa 48 peratus spesies di Bumi sedang mengalami penurunan dalam saiz populasi mereka, manakala kurang daripada tiga peratus semakin meningkat dalam saiz populasi.

Tahap kepupusan spesies secara tradisinya diukur oleh kategori pemuliharaan ancaman Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN), yang mendapati bahawa 28 peratus kehidupan di Bumi kini diancam kepupusan.

Bagaimanapun, penyelidikan baharu itu menggunakan analisis berskala global bagi pengukuran risiko kepupusan yang berbeza, iaitu "trend populasi".

Para penyelidik mendapati bahawa magnitud krisis kepupusan adalah jauh lebih teruk daripada yang ditunjukkan oleh pengukuran tradisional berdasarkan kategori ancaman.

Mereka juga mendapati bahawa 33 peratus spesies yang kini dianggap "selamat" oleh IUCN sebenarnya semakin berkurangan dan menuju ke arah risiko kepupusan.

Sementara itu, analisis menunjukkan kekurangan spesies dengan peningkatan populasi menunjukkan bahawa spesies lain tidak berkembang untuk menggantikan spesies pupus dalam ekosistem.

"Kaedah kajian baharu dan analisis berskala global ini memberikan gambaran yang lebih jelas tentang tahap sebenar hakisan biodiversiti global yang tidak dapat ditawarkan oleh pendekatan tradisional," kata Dr Daniel Pincheira-Donoso, pensyarah kanan dalam biologi evolusi dan makroekologi di Queen's University Belfast.

"Kerja kami adalah amaran drastik tentang magnitud semasa krisis ini yang mempunyai kesan buruk terhadap kestabilan alam semula jadi secara keseluruhan, dan ke atas kesihatan dan kesejahteraan manusia."

Catherine Finn, pelajar PhD di Queen's University Belfast dan pengarang terkemuka dalam penyelidikan itu, berkata: "Hampir separuh daripada haiwan di Bumi, kini semakin berkurangan.

"Memburukkan lagi keadaan, kebanyakan spesies haiwan yang dianggap tidak terancam daripada kepupusan, sebenarnya semakin berkurangan."

Kehilangan biodiversiti global dilihat sebagai salah satu cabaran paling serius kepada manusia untuk dekad akan datang, menjejaskan fungsi ekosistem, pengeluaran makanan, penyebaran penyakit dan kestabilan ekonomi global.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 5:45 PM