ROZI menunjukkan spesies pokok gaharu A.rostraa yang dikeringkan.
ROZI menunjukkan spesies pokok gaharu A.rostraa yang dikeringkan.
POKOK gaharu di Hutan Gunung Tebu, Besut.
POKOK gaharu di Hutan Gunung Tebu, Besut.
DAUN dan buah pokok gaharu.
DAUN dan buah pokok gaharu.
Azman Zakaria

Spesies pokok hutan Aquilaria rostrata (A.rostraa) yang selama ini dianggap pupus selepas kali terakhir ditemui kira-kira 100 tahun lalu, berjaya ditemui semula penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pokok dari genus Aquilaria itu yang lebih dikenali sebagai pokok karas dikaitkan dengan gaharu bernilai tinggi.

Ia yang juga dipanggil Karas Gunung atau Chandan Gunung ditemui di kawasan hutan Gunung Tebu, Besut, Terengganu, kira-kira 100 kilometer (km) dari kawasan ia pertama kali ditemui dahulu iaitu di Gunung Tahan, Pahang.

Kumpulan penyelidik UPM yang diketuai pensyarah Jabatan Pengurusan Hutan, Fakulti Perhutanan, Prof Madya Dr Rozi Mohamed menemui populasi pokok itu ketika melakukan kajian di lapangan dengan bantuan anggota renjer Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, pertengahan tahun lalu.

“Pada awalnya kami menyangka ia spesies baru, tapi selepas membuat perbandingan dengan spesimen berusia 100 tahun di Herbarium Botanic Gardens, Singapura, kami mendapati ia adalah A.rostraa.

“Penemuan terbaru ini mematikan anggapan bahawa spesies itu sudah pupus.

“Ini kerana selepas lebih 100 tahun penemuan pertamanya, ia disenaraikan dalam International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List dan dianggap sudah pupus,” katanya.

Rozi berkata, spesies itu ditemui di kawasan pokok balak yang sudah ditebang dan di kawasan berketinggian kira-kira 700 meter dari aras laut.

Katanya, dianggarkan 50 pokok ditemui dalam kawasan itu yang berketinggian antara dua hingga lima meter dan berukuran lilit (dbh) antara tiga hingga empat sentimeter. Ketika ditemui, pokok itu sedang berbunga dan berbuah.

Menurutnya, spesies itu pertama kali ditemui pada 1911 di Kem Wray’s, Gunung Tahan oleh H N Ridley dan dilaporkan pada 1924, namun laporan berkenaan tidak menyatakan saiz pokok itu.

“Spesies ini adalah endemik. Ia tidak terdapat di tempat lain, hanya di Semenanjung Malaysia dan terancam kepupusan.

“Bagaimanapun, aktiviti pembalakan secara mampan telah membuka laluan dan merintis jalan untuk kumpulan penyelidik UPM sampai ke kawasan habitat spesies berkenaan.

“Kami berjaya menemui semula populasi A.rostraa. Penemuan terbaru ini memberi sinar dan harapan bahawa satu daripada sumber alam semula jadi negara ini tidak mengalami kepupusan,” katanya.

Justeru, Rozi berkata, kawasan berkenaan perlu dijaga dan spesies ini dipulihara supaya dapat tumbuh dan membiak sebagai warisan alam serta mengelak daripada dicerobohi pihak yang mahu mendapatkan gaharu.

“Penyelidikan dijalankan menggunakan dana Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM) dan segala maklumat hasil penyelidikan dimasukkan ke dalam pangkalan data DNA yang dibangunkan khas untuk Aquilaria di Makmal Bioteknologi Hutan di Fakulti Perhutanan UPM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 10:41 AM