RUMAH mangsa percayai ditembak bapa sendiri. FOTO Erika George.
RUMAH mangsa percayai ditembak bapa sendiri. FOTO Erika George.
Erika George


REMAJA nyaris maut dipercayai ditembak bapanya sendiri di kediaman mereka di Kampung Keranji Madu di Selangau, semalam.

Dalam kejadian pada 5.30 petang itu, mangsa berusia 18 tahun dan bapanya berusia 48 tahun sedang minum minuman keras.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan (DSP) Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati bapanya bertindak menembak mangsa menggunakan senapang patah buatan sendiri atau bakakok.

"Akibatnya, mangsa cedera di bahagian bahu kiri, lutut kanan dan jari dipercayai terkena tembakan senapang terbabit.

"Sejurus selepas kejadian bapa remaja berkenaan melarikan diri," katanya hari ini.

Jimmy berkata, pihak polis ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan orang awam berhubung kejadian itu.

Katanya, ketika pasukan polis tiba, mangsa masih sedarkan diri, sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

"Pemeriksaan ke kawasan sekitar kediaman turut menemui senapang patah tidak jauh dari kediaman keluarga terbabit.

"Ia dirampas bagi tujuan bahan bukti kes," katanya.

Jimmy berkata, punca kejadian masih disiasat dan polis sedang giat mencari bapa mangsa untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 12:18 PM