BRYSON DECHAMBEAU
BRYSON DECHAMBEAU
AFP

NORTON, Amerika Syarikat: Tiger Woods menyokong penuh jika Bryson DeChambeau dipilih oleh kapten Amerika Syarikat (AS) untuk beraksi di Piala Ryder selepas menyaksikan rakan sepermainannya itu mencatat lapan di bawah par 63, Kejuaraan Golf PGA Dell Technologies, awal pagi tadi.

Woods yang juga juara major 14 kali, dan DeChambeau yang memenangi gelaran PGA ketiga pada saingan Northern Trust minggu lalu, masing-masing dijangka menjadi pilihan kapten AS, Jim Furyk untuk mengisi slot ‘wildcard’ beraksi dalam Piala Ryder.

DeChambeau yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 pada 16 September ini tidak melepaskan peluang apabila mempamerkan prestasi terbaiknya, dengan Woods yang dijangka menjadi penolong kapten AS menyaksikan setiap pukulan pemain itu.

“Ia adalah sesuatu yang menakjubkan dapat bermain dengan Bryson. Dia hebat, ini adalah kali pertama saya dapat bermain bersamanya dalam kejohanan.

“Kami agak kerap bermain bersama dalam sesi latihan tahun ini dan dia menakjubkan,” kata Woods.

Woods, 42, berkata dia tidak akan membantah jika digandingkan bersama pemain itu dalam aksi format foursome dan four-ball pada saingan Piala Ryder menentang pasukan Eropah di Lapangan Golf Kebangsaan Perancis bermula 28 hingga 30 September.

“Jika dia ada bersama dan melakukan lapan di bawah par setiap pukulan, ia pastinya akan memberikan keputusan yang positif,” kata Woods.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 12:36 PM