Seorang penumpang berjalan di stesen Euston, London yang lengang kerana pekerja menyertai mogok. - FOTO AP
Seorang penumpang berjalan di stesen Euston, London yang lengang kerana pekerja menyertai mogok. - FOTO AP
Reuters

London: Pekerja kereta api Britain memulakan tahun baharu dengan mogok selama seminggu pada Selasa, menyebabkan perjalanan berjuta-juta penumpang tergendala dalam pertarungan terbaru tindakan industri yang melanda negara itu.

Britain berada dalam cengkaman pergolakan pekerja yang paling teruk sejak Margaret Thatcher berkuasa pada 1980-an, kerana inflasi yang melonjak berikutan pertumbuhan gaji yang tidak stabil selama lebih 10 tahun, menyebabkan ramai pekerja tidak dapat menampung kehidupan.

Mogok berulang kali oleh pekerja kereta api telah melumpuhkan rangkaian dalam beberapa bulan kebelakangan ini manakala jururawat, kakitangan lapangan terbang, paramedik dan pekerja pos turut menyertai protes itu, menuntut gaji yang lebih tinggi untuk seiring dengan inflasi yang berlegar sekitar paras tertinggi 40 tahun, mencecah 10.7 peratus pada November.

Guru-guru akan melancarkan mogok di Scotland minggu depan.

"Disebabkan tindakan perindustrian, perkhidmatan kereta api akan berkurangan dengan ketara merentasi pelbagai laluan sehingga Ahad, 8 Januari.

"Kereta api akan menjadi lebih sibuk dan berkemungkinan akan memulakan operasi lebih lewat dan tamat lebih awal, serta beberapa tempat tidak akan disediakan perkhidmatan ini sama sekali," kata Network Rail.

Kerajaan berkata ia tidak mampu untuk memberikan pekerja sektor awam kenaikan sepadan kenaikan inflasi, yang bermakna tiada penghujung apa yang berlaku ketika ini.

Ia digelar sebagai "musim sejuk ketidakpuasan hati" baharu merujuk kepada pertempuran perindustrian yang mencengkam Britain pada akhir 1970-an.

Tinjauan YouGov yang diterbitkan pada Disember mendapati dua pertiga rakyat Britain menyokong mogok jururawat.

Majoriti mereka yang ditinjau berkata kerajaan paling harus dipersalahkan atas tindakan itu dan Perdana Menteri Rishi Sunak boleh menderita jika gangguan itu berlaku hingga 2023.

Mick Lynch, ketua kesatuan rel RMT berkata, kerajaan nampaknya berpuas hati untuk mogok diteruskan.

"Semua pihak yang terlibat tahu apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan penyelesaian, tetapi kerajaan menghalangnya," kata Lynch kepada BBC.

Kerajaan telah menyeru ketua-ketua kesatuan sekerja untuk kembali ke meja rundingan, menyedari bahawa mogok itu memberi kesan besar kepada perniagaan yang bergantung kepada penumpang, seperti kedai kopi dan pub di pusat bandar.

"Satu-satunya cara anda menyelesaikan perjanjian adalah untuk mendapatkan kesatuan sekerja dan majikan di sekeliling meja rundingan dan bukan di barisan piket dan itulah yang saya mahu lihat berlaku," kata Menteri Pengangkutan Mark Harper kepada Times Radio.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 6:12 PM