KESAN kemusnahan akibat serangan peluru berpandu Rusia di Kyiv, Ukraine. FOTO Reuters
KESAN kemusnahan akibat serangan peluru berpandu Rusia di Kyiv, Ukraine. FOTO Reuters
Agensi

Moscow: Tentera Rusia yang terbabit dengan perang ke atas Ukraine layak menerima kemudahan pembekuan dan penyimpanan sperma percuma di bank sperma.

Presiden Kesatuan Peguam Rusia, Igor Trunov berkata, Kementerian Kesihatan membenarkan demikian sebagai menjawab permintaan pasangan tentera yang diwakilinya.

Permintaan bagi "pewujudan bank sperma percuma dan pindaan terhadap sistem insurans kesihatan mandatori yang memperuntukkan kuota bagi rawatan kesuburan percuma buat warga Rusia yang mengambil bahagian dalam operasi ketenteraan khas (SMO)."

"Kementerian Kesihatan memutuskan tidak mustahil untuk menggunakan peruntukan daripada belanjawan persekutuan bagi membiayai pemuliharaan dan penyimpanan sperma tanpa bayaran bagi rakyat terbabit SMO pada 2022 hingga 2024," katanya dalam laporan agensi berita Tass yang dipetik CNN.

Trunov berkata, sebarang pemeliharaan percuma bahan genetik dan teknologi pembiakan akan dikawal undang-undang, dengan syarat ia sebagai sebahagian pakej insurans kesihatan.

Lebih 100,000 tentera Rusia dilapor terbunuh dalam perang itu pada November, jumlah hampir sama bagi Ukraine, menurut Ketua Tentera Amerika Syarikat.

Susulan siri serangan baru-baru ini, Presiden Vladimir Putin pada September lalu merancang menambah 300,000 tentera di perbatasan, yang mana gerakan itu bermaksud rakyatnya dalam barisan simpanan boleh dipanggil dan mereka mempunyai pengalaman ketenteraan akan dikerah.

Arahan terkini itu menyebabkan ramai lelaki Rusia yang menentang perang berkenaan keluar dari negara itu, malah lebih 8,500 dilapor menyeberangi sempadan Finland melalui jalan darat pada Sabtu lalu.

Setakat 28 September, data dikumpul dari pelbagai negara menunjukkan lebih 200,000 orang keluar dari Rusia dan memasuki Georgia, Kazakhstan dan Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 12:09 PM