GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
AFP

Berlin: Seorang lelaki berusia 50 tahun di Idar-Oberstein, Jerman, dipenjara seumur hidup selepas didapati bersalah menembak mati seorang juruwang hanya kerana diminta memakai pelitup muka ketika membeli arak.

Kejadian pada September tahun lalu mengejutkan negara berkenaan yang menyaksikan gerakan antipelitup muka dan antivaksin lantang muncul kerana menolak pelbagai sekatan yang dikenakan kerajaan untuk mengekang Covid-19.

Perselisihan bermula apabila mangsa yang juga seorang penuntut berusia 20 tahun, Alex W, meminta lelaki itu memakai pelitup muka di dalam kedai.

Tindakan menyebabkan suspek berang dan berlaku pertengkaran sebelum dia keluar dari premis berkenaan.

Suspek yang dikenali sebagai Mario N kembali kira-kira satu setengah jam kemudian dan memakai pelitup muka untuk membeli minuman keras.

Ketika di kaunter bayaran, dia kemudian mengeluarkan pistol dan menembak juruwang itu di kepala.

Mahkamah daerah di Bad-Kreuznach pada Selasa mensabitkan Mario atas kesalahan membunuh dan memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 11:02 AM