IBU pejabat WHO di Geneva. FOTO AFP
IBU pejabat WHO di Geneva. FOTO AFP
AFP

Copenhagen: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran 'wabak' obesiti mempunyai kaitan dalam lebih 1.2 juta kematian tahunan di seluruh Eropah.

Ia menggesa segera perubahan dasar baharu untuk mengurangkan trend peningkatan berkenaan.

Pengarah wilayah WHO, Hans Kluge dipetik dalam laporan terkini berkata, kadar obesiti di rantau itu meningkat sebanyak 138 peratus dalam tempoh lima dekad lalu.

Katanya, penyakit itu turut mempunyai kaitan dengan beberapa kes kanser dan kardiovaskular.

"Hampir satu perempat daripada orang dewasa kini mengalami obesiti di Eropah, lebih tinggi daripada rantau lain kecuali Amerika.

"Kadar berat badan berlebihan dan obesiti mencapai kadar wabak di seluruh rantau dan masih meningkat.

"Indeks jisim badan yang meningkat adalah faktor risiko utama untuk penyakit tidak berjangkit termasuk kanser dan penyakit kardiovaskular," katanya.

Beliau berkata, obesiti juga menyebabkan sekurang-kurangnya 13 jenis kanser berbeza dan berkemungkinan bertanggungjawab untuk sekurang-kurangnya 200,000 kes baharu kanser setiap tahun.

"Angka ini dijangka meningkat lagi pada tahun-tahun akan datang.

"Berat badan berlebihan dan obesiti dianggarkan menyebabkan lebih daripada 1.2 juta kematian setiap tahun sekali gus menyumbang lebih 13 peratus kematian di rantau ini," katanya.

Katanya, pandemik Covid-19 juga dikaitkan dengan pertambahan berat badan terutama apabila sekatan yang menggalakkan corak pemakanan atau gaya hidup tidak sihat.

Data komprehensif terkini menunjukkan, sebanyak 59 peratus orang dewasa dan hampir satu daripada tiga kanak-kanak iaitu 29 peratus lelaki dan 27 peratus perempuan mempunyai berat badan berlebihan di Eropah sejak 2016.

Pada tahun 1975, 40 peratus orang dewasa Eropah mengalami berat badan berlebihan.

Prevalens obesiti dalam kalangan orang dewasa meningkat sebanyak 138 peratus sejak itu, dengan peningkatan 21 peratus antara 2006 hingga 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2022 @ 10:09 AM