GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Reuters

Berlin: Enam sekeluarga dari Jerman yang didakwa terbabit dalam rompakan barangan permata pada 2019 di muzium terkemuka Eropah dihadapkan ke mahkamah Dresden pada Jumaat dengan keberadaan khazanah dicuri masih lagi misteri.

Semua lelaki berusia antara 22 hingga 28 tahun yang tidak dinamakan didakwa melakukan rompakan berkumpulan, menurut pejabat pendakwa raya Dresden.

Mereka disyaki menceroboh Muzium Gruenes Gewoelbe (Green Vault) pada awal pagi 25 November 2019 dan mencuri 21 barang kemas yang mengandungi lebih 4,300 berlian dianggarkan bernilai lebih 113 juta euro (RM527.7 juta).

"Defendan didakwa merancang jenayah itu dengan teliti," kata Thomas Ziegler, jurucakap mahkamah daerah Dresden.

Sementara itu pendakwa raya dilapor pada September bahawa semua tertuduh tidak mengemukakan sebarang keterangan manakala polis menawarkan 500,000 euro (RM2.334 juta) sebagai ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan barangan permata itu.

"Setakat ini tiada petunjuk," kata jurucakap pejabat pendakwaan Juergen Schmidt kepada Reuters.

Empat suspek bakal berhadapan hukuman penjara 15 tahun jika disabit kesalahan, manakala hukuman maksimum terhadap defendan bawah umur yang juga kembar, 10 tahun penjara juvana.

\

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 6:50 AM