YULIA Peresild (kiri) pelakon pertama yang menjalani penggambaran di ISS. FOTO EPA
YULIA Peresild (kiri) pelakon pertama yang menjalani penggambaran di ISS. FOTO EPA
Agensi

Moscow: Rusia menjadi negara pertama menghantar kru ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk penggambaran filem.

BBC melaporkan, Yulia Peresild, 37, akan membintangi filem arahan Klim Shipenko.

Kapal angkasa Soyuz MS-19 berlepas dari Baikonur di Kazakhstan dan tiga jam kemudian tiba di ISS.

Pelakon Amerika Syarikat (AS), Tom Cruise sebelum ini turut dilaporkan merancang membuat filem di sana.

Ketika Soyuz dilancarkan, kamera televisyen difokuskan kepada Peresild dan anak perempuannya berusia 12 tahun, Anna, yang menonton detik bersejarah itu dari jarak selamat.

Isteri Shipenko, Sofia Karpunina berkata, suaminya perlu menurunkan berat badan sebelum berlepas.

Pelancaran diketuai angkasawan Anton Shkaplerov, berjalan lancar mengikut rancangan.

"Anak kapal semua sihat," kata komander itu sejurus berlepas.

Soyuz tiba di ISS tiga jam selepas itu, namun sedikit lambat daripada dirancang kerana sistem automatik Soyuz gagal berfungsi dan komander menggunakan kaedah manual.

Kebiasaannya, Shkaplerov mendapat bantuan jurutera penerbangan, tetapi dua rakannya tidak dapat membantunya walaupun mereka menjalani latihan penerbangan.

Akhirnya, dia menghubungkan Soyuz ke ISS dan anak kapal bertemu tujuh angkasawan lain yang menunggu di ISS bahagian milik Rusia.

"Pintu sudah dibuka, semuanya seperti dirancang," kata ketua agensi angkasa lepas Rusia, Roscosmos, Dmitry Rogozin menerusi Twitter.

Pengarah dan pelakon hanya mempunyai 12 hari melakukan penggambaran dengan Peresild memainkan watak pakar bedah jantung yang dihantar ke orbit untuk menyelamatkan seorang angkasawan.

Dua angkasawan Rusia yang berada di kapal, Oleg Novitsky dan Pyotr Dubrov juga akan berlakon dalam filem itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 7:01 AM