RITA Camilleri maut akibat perbuatan anaknya. FOTO Facebook
RITA Camilleri maut akibat perbuatan anaknya. FOTO Facebook
Agensi

Sydney: Seorang wanita di Australia bukan saja tergamak menikam ibunya sendiri lebih 100 kali sehingga mati, malah turut memenggal kepala wanita itu.

Malah, Jessica Camilleri, 27, turut mengeluarkan lidah, mata dan hidung ibunya selepas memenggal kepala mangsa dengan pisau pemotong daging.

Daily Star melaporkan pada hari kejadian, Jessica mengheret ibunya, Rita, 57, ke dapur rumah mereka sebelum menikam mangsa.

Jessica bertindak demikian akibat marah kepada ibunya kerana dia tidak mahu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan psikiatri.

Selepas membunuh mangsa, wanita itu membawa mayat ibunya ke luar rumah mereka dan meletakkan mayat mangsa di laluan pejalan kaki.

Jessica kemudian menghubungi polis dan memaklumkan bahawa Rita cuba menikamnya.

Ketika polis tiba, wanita itu berlumuran darah.

Namun, dia dilaporkan bertanyakan pasukan keselamatan sama ada mereka boleh melakukan keajaiban dan menjahit semula kepala ibunya.

"Kepala ibu saya berada di sana. Bolehkah kamu menghidupkan kembali seseorang tanpa kepala?" katanya.

Mahkamah dimaklumkan, Jessica mengalami masalah mental ketika kejadian.

Bagaimanapun, hakim memutuskan wanita itu menyedari perbuatannya dan kesan atas tindakan berkenaan pada masa kejadian.

Jessica kini menjalani hukuman penjara 21 tahun dan tujuh bulan atas kesalahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 7:10 AM