PETUGAS kesihatan menunggu penumpang untuk membuat pemeriksaan suhu di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea. FOTO AFP
PETUGAS kesihatan menunggu penumpang untuk membuat pemeriksaan suhu di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea. FOTO AFP
BERNAMA

Geneva: Setahun selepas Covid-19 tersebar di seluruh dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin memberi amaran, dunia mungkin mengalami pandemik lebih besar di masa depan tatkala belum "sepenuhnya" bersedia menangani penularan wabak sedia ada, apatah lagi yang berikutnya.

Pengarah Eksekutif Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Mike Ryan, berkata dunia hari ini berada pada keadaan lebih baik dalam sains tingkah laku, vaksin, sains, sains diagnostik, dan bidang lain, lapor Agensi Anadolu.

Namun, dalam sidang media terakhir WHO tahun ini, beliau mengingatkan "kita harus bersiap sedia untuk sesuatu yang mungkin lebih parah di masa depan."

Beliau berkata pandemik Covid-19 sangat parah, menular dengan cepat ke seluruh dunia.

"Ini tidak semestinya yang besar. Virus ini sangat pantas merebak, menyukarkan dan membunuh begitu ramai orang yang disayangi.

"Tetapi kes kematian terkini agak rendah jika dibandingkan dengan penyakit lain yang muncul. Kita perlu bangkit segera," katanya.

Beliau bercakap ketika beberapa negara mulai menutup sempadan mereka ke UK berikutan kebimbangan yang timbul daripada varian baharu Covid-19 yang dikatakan lebih mudah tersebar.

Penasihat Kanan WHO Dr Bruce Aylward berkata "virus ini memberitahu kita bahawa kita tidak bersedia ... Kita kini memasuki gelombang kedua dan ketiga virus ini, dan kita masih belum bersedia untuk menangani dan menguruskannya."

"Kami bersedia untuk menangani selesema lebih baik daripada yang sebelumnya. Kami kini lebih bersedia untuk koronavirus. Tetapi adakah kita lebih bersedia untuk menghadapi wabak seterusnya?

"Adalah tidak wajar menganggap kita sudah bersedia sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 3:37 PM