HUJAN lebat dan salji di rantau itu berlangsung selama seminggu dan menghalang pengawasan udara. FOTO: AFP
HUJAN lebat dan salji di rantau itu berlangsung selama seminggu dan menghalang pengawasan udara. FOTO: AFP
AFP

NEW DELHI: Pekerja kecemasan berhadapan dengan cuaca buruk dalam usaha mencari lapan pendaki yang hilang di gunung tertinggi kedua di India, kata seorang pegawai.

Empat warga Britain, dua warga Amerika, seorang dari Australia dan India dijangka menawan puncak Nanda Devi East berketinggian 7,826 meter yang bersempadan dengan China dan kembali ke kem pangkalan pada hujung minggu lalu.

Tetapi kumpulan diketuai pendaki British, Martin Moran yang sudah mendaki beberapa kali puncak ke-23 tertinggi di dunia itu, gagal melaporkan diri di kem pangkalan Munsiyari selepas memulakan pendakian pada 13 Mei.

Seorang porter yang ditempatkan di kem pangkalan di utara Himalaya, Uttarakhand, berkata pendaki berkenaan gagal kembali pada 26 Mei.

“Kami mengaktifkan sumber untuk menjejak pendaki selepas mereka gagal kembali ke kem pangkalan, tetapi cuaca buruk menghalang operasi mencari,” kata Vijay Kumar Jogdande, seorang majistret di daerah Pithoragarh kepada AFP.

Jogdande berkata, hujan lebat dan salji di rantau itu berlangsung selama seminggu dan menghalang pengawasan udara.

“Pasukan mencari yang pergi ke kem pangkalan untuk mengesan pendaki hilang mendapat sedikit maklumat mengenai rancangan mereka.

“Penyiasat mengesahkan Moran memuat naik status di Facebook pada 22 Mei, membayangkan kumpulannya dapat mendaki puncak yang tidak pernah ditawan sebelum ini di rantau trans Himalaya,” katanya.

India mempunyai 10 puncak di atas 7,000 meter termasuk Kangchenjunga iaitu ketiga tertinggi di dunia yang terletak antara India dan Nepal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 10:37 PM