KANAK-KANAK Palestin membawa mangkuk berisi sup lentil sambil berjalan di Rafah, selatan Gaza. FOTO AFP
KANAK-KANAK Palestin membawa mangkuk berisi sup lentil sambil berjalan di Rafah, selatan Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Kumpulan Hamas dalam kenyataan pada Selasa menyerahkan respons mengenai perjanjian gencatan senjata yang bertujuan menghentikan perang dengan Israel kepada pengantara utama, lapor AFP

"Sebentar tadi, pergerakan Hamas menyampaikan responsnya mengenai perjanjian rangka kerja kepada saudara di Qatar dan Mesir," tulis satu kenyataan, merujuk kepada gencatan senjata yang menyeluruh dan penuh.

Pejuang itu sudah lebih seminggu memikirkan perjanjian yang dibuat tanpa kehadirannya di Paris, ketika tekanan antarabangsa semakin meningkat untuk menamatkan perang empat bulan.

Hamas berkata, cadangan itu bertujuan menamatkan pencerobohan terhadap rakyat, mendapatkan bantuan dan perlindungan, pembinaan semula, menarik balik kepungan di Semenanjung Gaza, dan menyelesaikan proses pertukaran tahanan".

Bagaimanapun, butiran mengenai gencatan senjata itu tidak dinyatakan dalam kenyataan berkenaan.

Perdana Menteri Qatar Mohammed Abdulrahman Al-Thani berkata, Doha menerima respons positif daripada Hamas terhadap rancangan gencatan senjata itu.

Mohammed bercakap bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken, yang melakukan satu lagi lawatan di Timur Tengah.

Blinken berkata, maklum balas Hamas sudah dikongsikan kepada Israel.

Sementara itu, Reuters yang memetik sumber yang rapat dengan rundingan itu dilaporkan berkata, gencatan senjata akan berlangsung sekurang-kurangnya 40 hari, di mana Hamas akan membebaskan baki tebusan orang awam.

Fasa selanjutnya akan menyusul, untuk menyerahkan tentera dan mayat tebusan, sebagai pertukaran untuk pembebasan rakyat Palestin yang dipenjarakan di Israel.

Gencatan senjata itu juga akan meningkatkan aliran makanan dan bantuan lain kepada penduduk awam Gaza yang terdesak yang menghadapi kelaparan dan kekurangan bekalan asas.

Presiden AS Joe Biden berkata, maklum balas Hamas menunjukkan "sedikit pergerakan" ke arah perjanjian. Tetapi tidak jelas sama ada Hamas atau Israel bersedia untuk melunakkan pendirian keras mereka untuk mencapai perjanjian gencatan senjata.

Perang di Gaza meletus pada 7 Oktober lalu dengan serangan oleh pejuang Hamas mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang, kebanyakannya orang awam. Hamas turut menawan kira-kira 250 tebusan.

Israel berkata, 132 kekal di Gaza termasuk 28 yang dipercayai sudah terbunuh.

Menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas, serangan tentera Israel pula membunuh sekurang-kurangnya 27,585 orang di Gaza, dengan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Reuters turut melaporkan Israel memperhebat serangan di Khan Younis, selatan Gaza, yang cuba ditakluknya sejak beberapa minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 11:12 AM