FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Seoul: Seorang pemuda di Korea Selatan yang menyerang seorang wanita yang juga kerani kedai serbaneka kerana mangsa berambut pendek dihukum penjara tiga tahun, pada 9 April lalu.

Memetik laporan The Straits Times, Mahkamah Daerah Changwon cawangan Jinju mendapati defendan, 20-an, bersalah menyerang mangsa wanita itu dan seorang lagi lelaki berusia 50-an, yang cuba menghentikan serangan berkenaan.

Penyerang juga diperintahkan membayar AS$2,500 (kira-kira RM11,982) sebagai pampasan kepada pemilik kedai serbaneka itu, dan 10 juta won atau AS$7,223 (kira-kira RM34,634) kepada mangsa lelaki kerana kecederaan parah dialaminya.

Serangan ganas itu berlaku di sebuah kedai serbaneka di Hadae-dong, bandar Jinju, pada November 2023.

Defenden mengesyaki kerani itu seorang feminis berdasarkan rambut pendeknya dan berkata feminis harus dipukul.

Wanita itu mengalami kecederaan serius termasuk cacat pendengaran kekal, manakala mangsa lelaki parah dan terpaksa berhenti kerja akibat trauma.

Hukuman itu kurang daripada hukuman penjara lima tahun yang dimohon oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah berkata, ia mengambil kira bahawa pakar psikologi di Institut Psikiatri Forensik milik kerajaan mendapati defendan berada dalam keadaan mental yang tidak stabil ketika serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 9:13 AM