HALA Hazem Hamada dirawat di hospital di Rafah. FOTO AFP
HALA Hazem Hamada dirawat di hospital di Rafah. FOTO AFP
AFP

Rafah: Detik menyentuh hati apabila lelaki Palestin ini cuba menenangkan anak saudaranya yang terperangkap di bawah runtuhan kuat bertahan menerusi satu panggilan telefon.

Mohammed al-Sabbagh menelefon anak saudaranya, Hala Hazem Hamada, 15, ketika remaja itu terperangkap tiga hari lalu sebelum berjaya diselamatkan Selasa lalu.

Pertumpahan darah bermula Sabtu lalu apabila tentera Israel turun ke kompleks kediaman di Khan Younis, tempat keluarga Hala berlindung selepas melarikan diri dari utara.

Serangan Israel itu mengorbankan enam orang termasuk ibu bapa Hala menyebabkan remaja itu menderita keseorangan di bawah runtuhan.

Ketika Hala menanti bantuan, seorang wartawan AFP merakam Mohammed yang menawarkan kata-kata sokongan melalui telefon.

"Cuba bertahan dan kuat. Jika ada sesuatu di sekeliling kamu, makanlah untuk memastikan kamu tabah sehingga kami sampai kepada kamu.

"Saya bersumpah kepada Tuhan, kami tidak tahu bagaimana untuk menghubungi kamu... (tetapi) kami cuba menghubungi (kamu). Jangan risau, kami akan datang kepada kamu," katanya.

Dalam pada itu, Hala yang dirawat di hospital selatan Rafah berkongsi tragedi menimpanya.

Menurut Hala, tentera Israel mengarahkan penduduk keluar menerusi pembesar suara, namun sebelum dia dan keluarganya menyelamatkan diri, tempat perlindungan itu runtuh diratakan jentolak Israel.

"Penembak tepat Israel menembak setiap orang dalam keluarga kami kecuali saya dan kakak, Basant.

"Ayah saya berlumuran darah. Dia bernafas tetapi tidak lagi (meninggal dunia).

"Kakak saya pula tidak dapat bergerak kerana kakinya tersepit tetapi makin lama dia semakin diam dan meninggalkan saya keseorangan," katanya kepada AFP

Dia yang cedera ringan, masih dalam fasa pemulihan selepas tidak dapat makan dan minum air selain trauma dengan kehilangan tragis keluarganya.

"Saya nampak kakak dan ayah saya, tetapi mereka masih belum ditarik keluar. Mereka masih di bawah runtuhan.

"Saya mahu melihat keluarga sekurang-kurangnya mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir," katanya.

Sementara itu, tentera Israel berkata, pihaknya menyerbu 'infrastruktur pengganas' di kawasan itu dan menahan 'pengganas' yang disyaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 2:32 PM