KERETA yang rosak susulan serangan Israel di kawasan kampung di Jadra, Beirut. FOTO AFP
KERETA yang rosak susulan serangan Israel di kawasan kampung di Jadra, Beirut. FOTO AFP
AFP

Beirut: Serangan Israel ke atas Lubnan pada Sabtu membunuh dua orang awam dan seorang anggota Hizbullah, kata pegawai, manakala sumber keselamatan memberitahu AFP, seorang pegawai kanan Hamas terselamat daripada cubaan membunuh di selatan Beirut.

Serangan dron Israel membunuh seorang dan mencederakan sembilan yang lain di perkampungan sempadan selatan Hula, kata Agensi Berita Kebangsaan (NNA) rasmi Lubnan.

Tentera Israel dan gerakan Lubnan Hizbullah, sekutu Hamas, berbalas serangan hampir setiap hari sejak perang meletus pada 7 Oktober antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin di Semenanjung Gaza.

Sumber yang rapat dengan Hizbullah memberitahu AFP bahawa orang yang terbunuh di Hula bukan ahli kumpulan itu.

Datuk Bandar Hula, Shakib Koteish berkata, mangsa maut adalah orang awam apabila rumahnya yang berhadapan dengan masjid tempatan terkena serangan.

Walaupun keganasan Israel-Lubnan sebahagian besarnya dibendung ke kawasan sempadan, serangan awal pada Sabtu melanda bandar pantai Jadra, kira-kira 40 kilometer dari titik terdekat di Israel.

Serangan maut kedua terjauh dari sempadan dalam tempoh empat bulan permusuhan "adalah percubaan yang gagal untuk membunuh seorang pegawai kanan dalam gerakan (Hamas)", kata seorang keselamatan Palestin, meminta namanya dirahsiakan atas kebimbangan keselamatan.

NNA melaporkan ia adalah serangan dron Israel.

Seorang pegawai keselamatan Lubnan, yang juga tidak mahu namanya disiarkan, mengenal pasti sasaran itu sebagai pegawai perekrut Hamas, Bassel Saleh.

Tidak lama selepas serangan awal ke atas kereta Saleh, dron Israel kedua mengenai lokasi sama, membunuh dua orang, kata pegawai itu.

Hizbullah berkata, salah seorang anggotanya meninggal dunia.

Bassel "terselamat tetapi mengalami melecur di belakangnya dan dimasukkan ke hospital", kata pegawai Lubnan itu.

Pegawai itu menambah, Bassel "menjaga unit pengambilan di Tebing Barat", yang diduduki oleh Israel sejak 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 8:32 AM